Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – ASEAN harus terus berusaha untuk meningkatkan sistem kesihatan untuk menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti kepada rakyat khususnya kepada mereka yang amat memerlukan.
Dengan permintaan penjagaan kesihatan yang kian meningkat dengan cabaran sumber yang terhad daripada segi modal insan, infrastruktur dan kewangan, wujud keperluan untuk menangani isu-isu berkenaan dalam peruntukan, peraturan dan pembiayaan sistem kesihatan untuk memastikan bahawa sebagai sebuah rantau, warga ASEAN akan terus dapat menerima akses kepada penjagaan kesihatan mampan, saksama, efektif dan berkualiti tinggi.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Dasar dan Perancangan, Kementerian Kesihatan, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud dalam ucapan alu-aluannya semasa Mesyuarat Kesihatan ASEAN Kluster 3 yang ke-6: Mengukuhkan Sistem Kesihatan dan Akses kepada Penjagaan (AHC3) yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Dalam ucapannya lagi, beliau berkata bahawa ahli-ahli mesyuarat harus belajar daripada pengalaman antara satu sama lain dan terus berusaha membina sistem kesihatan yang lebih baik yang lebih berdaya tahan serta mampan sambil mengingatkan bahawa usaha menangani isu-isu kesihatan masa kini memerlukan kerjasama antara pelbagai pihak.
“Kami tidak lagi mampu bekerja dalam silo dan mengharapkan hasil kesihatan yang lebih baik. Kita mesti melibatkan pihak berkepentingan dalam negara kita dan di seluruh rantau untuk benar-benar memberi impak,” jelasnya.
Haji Adi Ihram turut mengulas mengenai Perjanjian Pandemik WHO yang mana perjanjian tersebut menandakan titik perubahan dalam kerjasama kesihatan global, menekankan keperluan bagi akses saksama kepada alat kesihatan, perkongsian maklumat pantas dan pendekatan seluruh kerajaan bagi persiapan menghadapi wabak.
Bagi Kluster Kesihatan ASEAN 3, beliau berkata ia adalah selaras dengan matlamat untuk membina sistem kesihatan berdaya tahan dan memperbaiki penyampaian perkhidmatan di seluruh rantau.
Mesyuarat selama tiga hari yang bermula hari ini hingga 5 Jun, disertai oleh seramai kira-kira 80 peserta termasuk delegasi daripada kesemua 10 buah negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN, rakan-rakan kongsi ASEAN dan Timor Leste selaku pemerhati.
Mesyuarat berkenaan adalah sebahagian daripada usaha Sektor Kesihatan ASEAN bagi mengukuhkan kolaborasi serantau menerusi Agenda Pembangunan Kesihatan Pasca-2015 ASEAN (APHDA) di mana ia adalah selaras dengan Visi ASEAN 2025 dan Pelan Induk Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) 2025.
Negara Brunei Darussalam telah secara rasmi dilantik menjadi pengerusi Kluster Kesihatan 3 ASEAN bagi penggal 2025-2026, menggantikan Vietnam. Dengan kepimpinan ini, Brunei akan menerajui perbincangan untuk memajukan keutamaan kesihatan serantau di bawah AHC3 dengan tumpuan memastikan akses universal kepada penjagaan kesihatan holistik, berkualiti, mampu milik serta selamat, mempromosikan teknologi kesihatan digital dan inovasi serta meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan bagi penduduk yang terdedah termasuk wanita, kanak-kanak dan pekerja migran.
Matlamat mesyuarat berkenaan ialah untuk menggariskan keperluan peruntukan, logistik dan pentadbiran bagi menghoskan, mendapatkan kelulusan untuk bajet dicadangkan serta memformalkan komposisi Jawatankuasa Pengelola yang bertanggungjawab untuk memastikan kejayaan acara berkenaan.

Semua di atas: Antara yang hadir ke mesyuarat berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

