Sunday, February 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei ikrar gerak ke sifar bersih

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Negara Brunei Darussalam telah berikrar untuk bergerak ke arah Sifar Bersih (Net Zero) menjelang 2050 dengan membina laluan yang dicarta dalam Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei Darussalam (BNCCP).

    Pendekatan yang diambil untuk mencapai 10 strategi BNCCP adalah bagi menambah nilai kepada pertumbuhan ekonomi negara yang didorong utamanya oleh industri minyak dan gas.

    Perkara itu diketengahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof semasa berucap pada Perasmian Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2023 – Seminar Tenaga di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin se-terusnya menambah bahawa sebagai salah satu pengeluar minyak dan gas utama di rantau ini, Brunei mengambil maklum akan seruan bahawa minyak dan gas terus menjadi bahagian yang penting dalam campuran tenaga serantau khususnya untuk memacu peralihan tenaga.

    Pada masa yang sama, Negara Brunei Darussalam juga mengambil maklum akan perlunya untuk menyumbang kepada permintaan minyak dan gas yang bertambah untuk memastikan kestabilan pasaran serantau dan global secara berterusan.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menyampaikan ucapan ketika Perasmian Brunei MYCE 2023 – Seminar Tenaga, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara yang hadir semasa seminar di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Beliau menyatakan lanjut bahawa minyak dan gas akan terus memainkan peranan penting dalam sekuriti tenaga kebangsaan negara bagi tahun-tahun yang mendatang, bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta memajukan usaha peralihan tenaga negara.

    “Oleh itu, adalah amat mustahak supaya kita terus mempromosikan pembangunan huluan minyak dan gas di Negara Brunei Darussalam,” tambah beliau.

    Walaupun pelaburan berterusan dalam sektor huluan adalah mustahak, ulas Yang Berhormat Pehin, pelaburan dalam mengurangkan pelepasan daripada sektor berkenaan juga diperlukan bagi mencapai matlamat Sifar Bersih.

    Dalam hubungan itu, pemain-pemain industri minyak dan gas negara harus memainkan peranan mereka dalam merealisasikan peralihan tenaga bagi negara menerusi tiga langkah pengurangan pelepasan.

    Yang Berhormat Pehin menerangkan bahawa tiga langkah berkenaan adalah untuk meminimumkan pelepasan melalui penggunaan tenaga alternatif yang lebih bersih atau boleh diperbaharui, mengoptimumkan operasi masa kini bagi mengurangkan pelepasan metana dan karbon serta menangkap pelepasan dengan membangunkan kapasiti dan keupayaan yang diperlukan dalam Penyimpanan dan Penangkapan Karbon (CCS).

    Beliau menjelaskan bahawa mereka akan membangunkan sebuah rangka kerja pengawalseliaan yang akan mempromosikan pelaksanaan CCS.

    Dalam memastikan peralihan tenaga dilaksanakan di keseluruhan rantaian nilai tenaga, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa kerajaan telah mengambil langkah untuk memajukan sasaran tenaga solar kebangsaan kepada 200 Megawatt menjelang 2025 dan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada campuran penjanaan kuasa menjelang
    2035.

    Negara Brunei Darussalam juga pada masa ini sedang meneroka potensi kesalinghubungan berasaskan tenaga boleh diperbaharui melalui perhubungan dengan negara-negara jiran.

    Selain itu, akses kepada pembiayaan dan penglibatan sektor swasta dalam menerajui usaha peralihan tenaga akan mempercepatkan lagi perjalanan Brunei Darussalam ke
    arah Sifar Bersih.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda