Oleh Lyna Mohamad –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Brunei Darussalam muncul sebagai juara di Kejohanan Badminton Antara Persatuan ASEAN 2025 yang julung kali diadakan, di Dewan Badminton Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Bangunan Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PPGMB).
Enam pasukan dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Brunei bertanding dalam acara Perseorangan Lelaki, Perseorangan Wanita, Beregu Lelaki, dan Beregu Campuran.
Pasukan Brunei mempamerkan kemahiran dan kerja berpasukan yang cemerlang untuk merangkul Trofi Persahabatan ASEAN setelah mengalahkan Indonesia dalam perlawanan akhir yang mendebarkan, manakala pasukan Thailand menduduki tempat ketiga, menewaskan Filipina.
“Bagi pihak jawatankuasa penganjur, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pasukan, pemain dan penyokong yang telah menjayakan kejohanan tersebut,” kata Presiden Persatuan Malaysia (PWM), Azlan Ahmad, selaku pengerusi acara.
Acara tersebut tambahnya, lebih daripada sekadar pertandingan, ia merupakan satu perpaduan, persahabatan dan semangat bersama terhadap sukan ini.
“Ia merupakan satu perjalanan yang luar biasa yang menyatukan rakan-rakan dan komuniti ASEAN kita melalui badminton. Semangat kesukanan dan kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh setiap peserta menjadikan kejohanan ini benar-benar istimewa.
“Kami berharap dapat meneruskan tradisi perpaduan dan muhibah ini pada tahun-tahun akan datang,” ujar pengarah kejohanan dan wakil Persatuan Masyarakat Indonesia di Brunei (PERMAI), Enjang Irpan.
Penganjur turut berharap acara tersebut akan menjadi tradisi tahunan, mengeratkan silaturahim antara persatuan komuniti ASEAN di Brunei melalui semangat kesukanan yang mesra dan setiakawan.




