Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei jumpa Timor Leste dalam kelayakan AFF

    Oleh Fadhil Yunus

    BANGKOK, 30 OGOS – Pasukan bola sepak Negara Brunei Darussalam akan bertemu Timor Leste dalam pusingan kelayakan Piala Mitsubishi Electric Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 susulan majlis cabutan undi rasmi di Bangkok, Thailand hari ini.

    Brunei akan menjadi tuan rumah pada pusingan pertama perlawanan itu – dengan tarikh yang belum dipastikan, manakala Timor Leste akan mengalu-alukan kedatangan pasukan Brunei untuk perlawanan kedua.

    Pemenang perlawanan timbal balik itu akan mendapat tempat dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja. Kumpulan B terdiri daripada Vietnam, Myanmar, Malaysia, Singapura dan Laos. Presiden Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (FABD), Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan mengendalikan undian untuk pusingan kelayakan.

    Kejohanan yang akan bermula 20 Disember 2022 hingga 16 Januari 2023 itu, akan menyaksikan kembalinya format tempat sendiri dan tempat lawan. Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata, “Kejohanan AFF sentiasa menjadi tumpuan utama bola sepak dan kami gembira melihat kembalinya kejohanan tahun ini sebagai Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.”

    Dia menambah, “Beberapa tahun kebelakangan adalah sangat sukar untuk semua orang di rantau ini. Tetapi, kami muncul lebih kuat bersama-sama daripada cabaran ini dan menjadi lebih bersatu sebagai komuniti bola sepak.”

    Dia membuat kesimpulan, “Kami tahu peminat bersemangat dan setia, kami tidak sabar untuk melihat pasukan beraksi semula.

    “Kami teruja dengan peluang untuk membawa semula kejohanan ini kepada peminat di pelbagai negara,” katanya di akhir ucapan.

    Satu-satunya penampilan Brunei Darussalam dalam cabutan utama pertandingan itu ialah pada tahun 1996.

    Thailand memenangi edisi terakhir pertandingan itu selepas menewaskan Indonesia secara agregat 6-2 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional di Singapura pada Hari Tahun Baharu.

    Presiden FABD semasa membuat cabutan undi untuk pusingan kelayakan di Bangkok, Thailand semalam. – Gambar serahan daripada AFF
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda