Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Empat orang pemain bowling 10 pin negara telah berlepas meninggalkan negara baru-baru ini bagi menyertai Kejohanan Boling 10 pin Antara Bandar Asia ke-34 yang berlangsung di Probowl, Khalandale Mall, Phnom Penh, Kemboja.
Hadir di Lapangan Tebang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlayar dan seterusnya berkesudian menyempurnakan majlis penyerahan bendera negara kepada para pemain boling negara ialah Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Haji Mohammad Ideni bin Haji Ahmad.
Antara yang menyertai kejohanan tersebut ialah bandar raya-bandar raya di rantau Asia dan kali ini merupakan penyertaan kali keempat bagi pasukan Bandar Seri Begawan menyertai kejohanan tersebut. Turut menyertai rombongan ialah pengurus pasukan Bandar Seri Begawan, Pengiran Nor-Ain binti Pengiran Haji Ali dan Jurulatih, Hajah Sharifah Rozlina binti Syed Elham.
Sementara itu, barisan pemain-pemain yang mewakili pasukan Bandar Seri Begawan pula ialah Awang Mahali bin Haji Abdul Rahman, Pengiran Haji Yasfadillah bin Pengiran Haji Md Yassin, Pengiran Haji Shariful bin PSI Pengiran Haji Ismail dan Yapp Teck Chung.
Kejohanan berkenaan merupakan pertandingan yang diiktiraf oleh Persekutuan Boling Asia (ABF) yang diadakan pada setiap tahun dengan tuan rumah akan dihoskan secara bergilir-gilir antara ahli ABF.
Kejohanan tersebut ketika ini sedang berlangsung di Kemboja yang dijadualkan berakhir pada 11 Februari depan.