Oleh Syahmi Hassan & Nurdiyanah R.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam mengesahkan pengesanan kes pertama varian Omicron di negara ini hari ini.
“Kes tersebut telah tiba ke negara ini dari United Kingdom pada 17 Disember di mana beliau telah dikuarantin sebaik saja tiba ke negara ini dan kontak-kontak terdekatnya juga telah diarahkan untuk menjalani ujian makmal dan pengasingan diri,” umum Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
Menurut Yang Berhormat Dato, pada masa ini, kes tersebut berada dalam keadaan yang sihat dan tidak lagi mengalami sebarang tanda-tanda jangkitan. Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak berasa cemas dengan penemuan varian Omicron di negara ini.
Pada sesi sidang itu juga, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru orang ramai di negara ini untuk sentiasa menjalankan tanggungjawab sosial dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.
Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak berasa cemas dengan penemuan varian Omicron di negara ini.
Ini kerana tahap pengambilan suntikan vaksin lengkap dua dos di negara ini berada pada kadar peratusan yang tinggi diikuti dengan perlaksanaan pengambilan suntikan dos penggalak yang sudah melebihi 10 peratus setakat ini.
“Perlu diingatkan juga, pengambilan vaksin adalah hanya salah satu usaha kita untuk mengawal jangkitan berlaku namun apa yang terpenting juga ialah tanggungjawab kita dalam mematuhi segala SOP seperti pemakaian pelitup muka dan sentiasa menjaga kebersihan diri termasuklah penggunaan pensanitasi tangan dan sebagainya.
“Beberapa dapatan dari negara luar yang menunjukkan varian Omicron ini cepat merebak dan perkara ini tidak dapat dinafikan tetapi kesan dari segi sistem kesihatan dilihat tidak begitu terjejas. Oleh itu, dengan adanya kepatuhan orang ramai dalam sentiasa mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan, Insya-Allah kita akan dapat mengawalnya,” ujar Yang Berhormat Dato.
