Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Dalam usaha untuk mengukuhkan komitmen serantau dalam pengurusan bencana, Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN Ke-12 (AMMDM) dan Mesyuarat Persidangan Parti Ke-13 (CoP) Kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) berlangsung di The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.
Mesyuarat berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku tuan rumah dan pengerusi kepada AMMDM Ke-12.
Perasmian mesyuarat berkenaan telah dihadiri oleh menteri-menteri dan wakil-wakil negara anggota ASEAN, timbalan setiausaha agung ASEAN Komuniti Sosio-Budaya ASEAN, sekretariat ASEAN, Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam pengurusan bencana (Pusat AHA) dan Timor-Leste sebagai pemerhati serta rakan-rakan dialog dari Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) atas sumbangan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam membina serta mengukuhkan usaha rantau dalam pengurusan bencana.
Yang Berhormat Dato juga merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada negara-negara anggota ASEAN yang terjejas dengan kesan Taufan Tropika Yagi baru-baru ini serta menzahirkan solidariti terhadap masyarakat yang terjejas.
Seterusnya beliau turut mengambil maklum dan menghargai usaha serta sikap perpaduan yang ditunjukkan oleh negara-negara anggota ASEAN dan Pusat AHA dengan tindak balas yang pantas dalam mengerahkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas.
Selaras dengan tema mesyuarat, Building a Resilient ASEAN Through Inclusive and Sustainable Disaster Recovery, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyatakan kepentingan tindakan bersatu dalam pemulihan dan pembinaan semula pasca bencana dengan menekankan bahawa usaha pemulihan harus teguh, saksama dan inklusif terutamanya dalam mengendalikan semua individu khasnya wanita, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya tanpa meninggalkan sesiapapun.
Semasa majlis perasmian mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Dato merakamkan penghargaan terhadap usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana ASEAN (ACDM) dalam membimbing dan menyelia pelaksanaan Program Kerja ADDMER 2021-2015 serta Lembaga Pengelola Pusat AHA dalam memberi panduan bagi melaksanakan operasi Pusat AHA.
Beliau turut menekankan bahawa perancangan strategik untuk masa depan adalah penting dan memerlukan pelaksanaan langkah dan penyelesaian yang mampan.
Oleh yang demikian, pencapaian dalam bidang dasar dan operasi adalah penting dalam mencapai aspirasi Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER), Deklarasi ASEAN Mengenai Satu ASEAN, Satu Respons: ASEAN Bertindak Balas Terhadap Bencana sebagai Satu Rantau dan Visi ASEAN 2025 mengenai Pengurusan Bencana dan dalam memenuhi objektif Pelan Induk Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) 2025.
Pada sidang luar AMMDM Ke-12 pula, menteri-menteri ASEAN telah menghadiri mesyuarat bersama rakan dialog iaitu Mesyuarat AMMDM Bersama Republik Rakyat China Ke-4, Mesyuarat AMMDM Bersama Jepun Ke-4 dan Mesyuarat AMMDM Bersama Republik Korea Ke-3.
ASEAN sangat menghargai sokongan berterusan daripada Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan bencana serta membina ketahanan dan kapasiti melalui penerusan projek-projek pembangunan kapasiti, pembiayaan serta bantuan kemanusiaan di ASEAN.
Mesyuarat berkenaan juga diteruskan dengan Majlis Penandatanganan Memorandum of Intent (MOI) dan pelancaran beberapa Projek ASEAN yang telah disaksikan oleh Pengerusi AMMDM Ke-12, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin.
Mesyuarat diakhiri dengan acara penyerahan kepada pihak Kerajaan Kemboja sebagai pengerusi yang akan mengambil alih kepimpinan banda sektor yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan pada 2025.
Atas & Bawah: Sebahagian dari yang menghadiri mesyuarat berkenaan.