Monday, October 21, 2024
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei ketuai mesyuarat strategi pemulihan bencana ASEAN

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Adalah amat penting untuk memastikan semua anggota komuniti ASEAN terutama golongan yang paling terdedah untuk sama-sama turut serta dalam pelan kesiapsiagaan dan pemulihan bencana.

    Selain itu, turut ditekankan akan kepentingan untuk menggalakkan penyelesaian jangka panjang yang memulihkan semula ekonomi tempatan, membina semula sumber pendapatan dan memastikan kesejahteraan berterusan bagi penduduk yang terjejas.

    Penekanan itu dibuat dalam ucapan Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi bin Haji Muhd Jamin semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana ASEAN (ACDM) Ke-45 dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan di The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.

    Beliau percaya bahawa dengan kerjasama serantau yang teguh, rantau ini akan dapat memanfaatkan kepakaran kolektif, berkongsi amalan terbaik serta menjadikan ASEAN sebagai rantau yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi bencana dengan yakin serta berupaya membina semula dengan baik.

    Tahun ini, Negara Brunei Darussalam berbesar hati untuk menjadi tuan rumah dan pengerusi bagi mesyuarat ACDM dan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) dengan tema Building a Resilient ASEAN Through Inclusive and Sustainable Disaster Recovery.

    Mesyuarat ACDM Ke-45 merupakan Mesyuarat ACDM kali kedua bagi 2024 yang telah diadakan di Brunei dengan kehadiran para delegasi ASEAN dari organisasi pengurusan bencana (NDMO) dari negara-negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN, Pusat Penyelaras ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dalam pengurusan bencana (Pusat AHA) dan Timor-Leste sebagai negara pemerhati serta rakan dialog ACDM dari Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea (ROK).

    Mesyuarat berkenaan juga berfungsi sebagai forum untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu strategik dan terkini serta membincangkan kemajuan semasa dan status perkembangan beberapa projek, program dan aktiviti di bawah ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER) 2021-2025 atau AWP 2021-2025.

    Berikutan daripada mesyuarat berkenaan, mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-12 juga akan turut diadakan dan akan dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi mempengerusikan mesuyarat berkenaan.
    Atas & Bawah: Antara yang hadir dalam mesyuarat berkenaan.
    Suasana semasa mesyuarat berlangsung.
    Gambar ramai Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi dan sebahagian wakil yang hadir. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda