Brunei kini dalam Monsun Timur Laut

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Negara Brunei Darussalam telah merekodkan jumlah turunan hujan sebanyak 277.1mm bermula 12 Januari lalu dan purata jangka panjang jumlah turunan hujan bagi keseluruhan bulan Januari dijangkakan pada 308mm, berdasarkan rekod yang dicatatkan oleh Stesen Pencerapan Kaji cuaca Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Kaji Cuaca Negara Brunei Darussalam, keadaan ini berlaku kerana negara pada masa ini berada dalam Monsun Timur Laut, yang mana lazimnya dalam tempoh ini, keadaan cuaca adalah tidak menentu dengan hujan lebat atau hujan berpetir sekali-sekala.

Peningkatan aktiviti dan jumlah turunan hujan di Negara Brunei Darussalam ini adalah dipengaruhi oleh kombinasi sistem tekanan rendah yang berada di kawasan utara Borneo dan juga luruan angin Timur Laut yang kuat berada di rantau kita.

Semalam, curahan hujan lebat bertumpu di kawasan Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong dan di kawasan pesisiran Daerah Belait, mengakibatkan beberapa kejadian banjir dan banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir.

Keadaan air pasang semasa hujan lebat juga telah menyebabkan banjir berlaku di kawasan-kawasan berhampiran tebing sungai. Berpandukan Model Ramalan Cuaca Berangka yang terkini menunjukkan secara keseluruhannya keadaan cuaca tidak menentu di Negara Brunei Darussalam akan berterusan dengan hujan sekali-sekala lebat sehingga 19 Januari ini. Hujan atau hujan berpetir dijangka berlaku terutama pada sebelah petang dan malam, dan boleh berlanjutan sehingga subuh.

Dalam keadaan cuaca sebegini, masih terdapat risiko banjir dan banjir kilat berlaku.

Keadaan angin boleh menjadi kencang mencapai sehingga 45 kilometer sejam semasa hujan lebat, manakala keadaan di Laut China Selatan menyaksikan peningkatan ketinggian ombak di perairan negara. Ia dijangka berada dalam paras sederhana sehingga bergelora dengan ketinggian ombak boleh mencapai 3 meter sehingga minggu depan.

Sehubungan itu jabatan menasihatkan orang ramai mengambil perhatian risiko banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat, bahaya pokok tumbang semasa keadaan berangin dan risiko kejadian air pasang serta laut bergelora yang berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil dan aktiviti rekreasi dan sukan laut seperti berenang, jetski, scuba diving dan lain-lain.

Manakala pemandu dan pelaut juga dinasihatkan peka dengan keadaan dan mengambil kira ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini ketika membuat sebarang perancangan bagi memastikan keselamatan sentiasa terpelihara dan mengelak kerosakan harta benda.

Jabatan akan terus memantau perkembangan cuaca dari semasa ke semasa dan mengeluarkan nasihat dan amaran jika dan bila perlu.