Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei komited dalam pengurangan risiko bencana

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, telah menghadiri dan mengetuai delegasi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) ke Asia Pacific Ministerial Conference on Disaster Risk Reduction (APMCDRR) 2024 di Manila, Republik Filipina dari 14 Oktober hingga hari ini.

    APMCDRR 2024 yang diadakan setiap dua tahun sekali itu telah diungkayahkan bersama oleh Filipina dan United Nations Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR) untuk membincangkan dan meneliti usaha pengurangan risiko bencana, perkongsian cadangan inovatif dan seterusnya memperkukuhkan komitmen yang dapat dilaksanakan untuk mencapai pengurangan risiko bencana menjelang 2030 di rantau Asia-Pasifik.

    Persidangan kali ini membawakan tema Surge to 2030: Enhancing Ambition in Asia-Pacific to Accelerate Disaster Risk Reduction, di mana tema itu telah memberikan tiga tumpuan utama iaitu penekanan kepada kepentingan bagi pelaburan yang mampan, peningkatan strategi dalam pengurangan risiko bencana dan sistem amaran awal dan tindakan antisipatif.

    Semasa persidangan, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri juga telah menyampaikan Ministerial Country Statement di mana beliau mengongsikan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam memenuhi dan melaksanakan keutamaan dan matlamat negara terhadap Sendai Framework on Disaster Risk Reduction 2015-2030.

    Ia adalah selaras dengan hasrat negara untuk mencapai kedayatahanan dalam pengurusan bencana melalui perlaksanaan beberapa strategi dan inisiatif dalam pengurangan risiko bencana.

    Di samping menghadiri persidangan, Yang Berhormat Dato juga mengadakan kunjungan muhibah secara berasingan bersama Naib Menteri bagi Penyelarasan Dasar, Pejabat Kabinet Kerajaan Jepun, Tuan Yang Terutama Hara Hiroaki dan Setiausaha Pertahanan Kebangsaan Filipina, TYT Gilberto Eduardo Gerardo Conjuango Teodoro Jr.

    Sementara itu, kunjungan muhibah bersama Republik Filipina pula menekankan kepentingan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam kesiapsiagaan bencana termasuk dalam bidang berkaitan dengan hydrometeorological hazards.

    Turut hadir semasa persidangan APMCDRR 2024 tersebut adalah Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), KHEDN, serta pegawai-pegawai kanan dari KHEDN dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin semasa mengadakan kunjungan muhibah bersama TYT Hara Hiroaki dan TYT Gilberto Eduardo Gerardo Conjuango Teodoro Jr. – GAMBAR SERAHAN KHEDN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda