Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei komited kepada pembangunan ekonomi inklusif

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Negara Brunei Darussalam mengembangkan penglibatannya dengan landskap ekonomi dinamik Borneo semasa Forum Ekonomi Borneo yang berlangsung di Banjarmasin, Indonesia, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Dynamik Technologies, di sini, forum itu menggariskan potensi meluas rantau berkenaan bagi kesalinghubungan dan pertumbuhan ekonomi, mengetengahkan peluang-peluang pelaburan dalam sektor-sektor utama seperti tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan ekonomi hijau.

    Perbincangan dalam forum berkenaan juga menumpukan kepada meningkatkan infrastruktur digital dan logistik Borneo, menekankan peranan kritikal teknologi canggih dalam memacu integrasi serantau dalam Komuniti Ekonomi ASEAN.

    Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies dan Pengerusi Bersama Komuniti Ekonomi Borneo, Dayang Haslina binti Taib menyatakan komitmen tidak berbelah-bahagi Brunei kepada pembangunan ekonomi inklusif.

    Beliau menyatakan dalam dunia yang pantas bergerak, visi kita bagi Komuniti Ekonomi Brunei (BEC) adalah jelas dan kukuh iaitu untuk mengutamakan penyertaan warga dan PMKS kita dalam peluang-peluang ekonomi baharu dalam perdagangan merentas sempadan, pelaburan, pekerjaan masa depan serta kemampanan.

    Dayang Haslina semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya. – GAMBAR SERAHAN DYNAMIK TECHNOLOGIES
    Dayang Haslina (dua kiri) bergambar ramai semasa majlis perasmian Forum Ekonomi Borneo di Banjarmasin, Indonesia. – GAMBAR SERAHAN DYNAMIK TECHNOLOGIES

    Penubuhan Nusantara sebagai ibu negara Indonesia baharu, tambahnya, merupakan seruan dan pemangkin untuk meningkatkan kerjasama perdagangan, memacu inovasi serta membina pembangunan mampan bagi semua di Borneo.

    Selaras dengan matlamat-matlamat berkenaan, Dayang Haslina memperkenalkan dua inisiatif utama BEC iaitu Karyawan Digital Borneo (KARYADI) dan Trade and Economics Unified Analytics (TENUN) oleh Dynamik Technologies.

    TENUN bermatlamat untuk memupuk kolaborasi serantau dengan memudahkan perkongsian data ekonomi dan perdagangan serata Borneo, menarik pelaburan global dan menghubungkan pusat-pusat kecemerlangan dalam sains data.

    KARYADI pula bersedia untuk memperkasa perniagaan dan bakat digital Borneo dengan kemahiran canggih dalam penyelesaian kod rendah, analisis data dan teknologi mampan, meningkatkan kelebihan kompetitif Borneo dalam ekonomi digital global.

    Peluang-peluang untuk kolaborasi adalah termasuk program Borneo bersama dalam pembangunan tenaga manusia dan eksport, kolaborasi data ekonomi untuk menarik nomad digital, pelaburan langsung asing (FDI) serta syarikat multinasional dan projek-projek pelengkap dalam kesalinghubungan, kemampanan dan pelancongan.

    Negara Brunei Darussalam dijadualkan untuk menjadi tuan rumah bagi Borneo Business Roundtable pada Oktober nanti di mana ia akan memajukan lagi perbincangan dan kerjasama, menandakan langkah signifikan dalam perjalanan kolaboratif ke arah pembangunan serta pertumbuhan serantau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda