Oleh Yusrin Junaidi –
BANGKOK, THAILAND, 14 NOV – Bengkel Penyebaran bagi Buku Panduan Kerjasama Perundangan Antarabangsa ASEAN (ILC) dan Kompendium ILC ASEAN telah berlangsung di Bangkok, Thailand pada 12 November.
Bengkel dihadiri oleh peserta dari setiap negara anggota ASEAN (AMS), termasuk delegasi Brunei Darussalam yang terdiri daripada para pegawai dari Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Peguam Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, bersama wakil-wakil Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Jenayah Transnasional (SOMTC), pusat autoriti dan pejabat pendakwa raya/peguam negara dari negara-negara lain.
Bengkel dianjurkan bersama oleh SOMTC, diketuai oleh Shepherd SOMTC dari Filipina, dengan sokongan kerajaan Australia melalui ASEAN–ACT serta UNODC ROSEAP.
Bengkel tersebut merupakan susulan kepada siri bengkel terdahulu yang telah diadakan pada Mac dan Disember 2024 serta Mei 2025, yang bertujuan menangani cabaran dalam ILC untuk memperkukuhkan tindak balas terhadap jenayah pemerdagangan orang (TIP) di rantau ASEAN.
Penyertaan Brunei Darussalam dalam bengkel tersebut mencerminkan komitmen berterusan negara untuk mengukuhkan kerjasama serantau bagi menangani TIP.


