Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk dikekalkan dan dimantapkan secara berterusan, Negara Brunei Darussalam telah pun menambahkan peruntukan bagi perbelanjaan penjagaan kesihatan bagi tahun kewangan ini berbanding tahun-tahun lepas.
Di samping itu juga, pihak Kementerian Kesihatan dalam proses menyemak semula Pelan Strategik Kementerian Kesihatan bagi mengukuhkan dan memapankan lagi sistem penjagaan kesihatan negara untuk masa hadapan, selaras dengan konsep liputan kesihatan sejagat (UHC) iaitu pengukuhan kepada penjagaan kesihatan asasi dan bukan sahaja memfokuskan kepada penjagaan akut dan episodik.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya semasa sesi pleno di Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 yang berlangsung di Geneva, Switzerland bermula 27 Mei hingga 1 Jun.
Perhimpunan berkenaan dihadiri oleh menteri-menteri kesihatan dan wakil-wakil dari negara-negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan delegasi Brunei diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan juga disertai oleh Perwakilan Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland, Puan Yang Terutama Dayangku Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee serta beberapa pegawai kanan Kementerian Kesihatan.
Terdahulu dalam ucapannya semasa perhimpunan yang membawa tema Semua untuk Kesihatan, Kesihatan untuk Semua, Yang Berhormat Dato menggariskan bahawa draf Program Kerja Umum ke-14 yang akan dibincangkan semasa perhimpunan itu diharap akan mengukuhkan komitmen antara negara ahli untuk mencapai matlamat kesihatan selaras dengan tema perhimpunan.
Beliau seterusnya menyatakan untuk memastikan kesinambungan di dalam penjagaan kesihatan, mengesan penyakit lebih awal dan pemerkasaan pesakit, penggunaan peralatan digital, termasuk aplikasi BruHealth, akan membolehkan model penjagaan kesihatan baharu dan pendekatan yang inovatif dalam merawat penyakit-penyakit ringan dan seterusnya mengorientasikan semula sistem penjagaan kesihatan kepada yang lebih nilai (value-based care).
Pelan strategik yang baharu itu nanti, ulasnya akan memanfaatkan kemajuan dan bukti dalam sains kesihatan, dengan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Brunei yang baru ditubuhkan memainkan peranan penting dalam mengintegrasikan kecerdasan kesihatan dan penganalisisan data dengan lebih baik untuk memacu penggubalan dasar dan penyampaian program-program kesihatan.
Yang Berhormat Dato juga menyuarakan pengertian Kesihatan untuk Semua mencerminkan perpaduan dan tanggungjawab bersama negara-negara anggota kepada satu sama lain, di mana Brunei terlibat di dalam perundingan Perjanjian Pandemik baru
dan juga pindaan kepada International Health Regulations.
Sebagai sebuah negara kecil, mengukuhkan struktur keselamatan kesihatan global amat penting untuk kepentingan negara dan selaku barisan pertahanan pertama dalam menghadapi kecemasan kesihatan awam masa hadapan, tambahnya lagi.
Untuk itu, pendirian Brunei adalah untuk memastikan Perjanjian Pandemik yang dipersetujui akan menghormati prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan antara negara serta menghasilkan penambahbaikan yang bermakna dalam kesiapsiagaan dan tindak balas wabak.
Beliau juga menekankan bagi tema Kesihatan untuk Semua untuk mempunyai makna yang signifikan, ia juga harus merangkumi mereka yang berada dalam keadaan kecemasan kemanusiaan.
Untuk itu, Brunei menyuarakan kekesalan dengan keadaan berterusan di Gaza dan wilayah Palestin yang dijelajahi yang mengakibatkan ribuan kematian dan kecederaan termasuk kepada pekerja-pekerja kesihatan dan bangsa-bangsa bersatu serta menggesa bagi semua pihak yang terlibat untuk memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutamanya yang berkaitan dengan perlindungan orang awam dan kakitangan perubatan.
Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77, membincangkan mengenai pelbagai isu kesihatan awam dan global yang penting termasuk berkaitan UHC, kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, imunisasi, kekebalan antimikrobial, malaria, tindakan dan kesiapsiagaan kepada kecemasan kesihatan awam, pemakanan ibu-ibu dan anak damit serta perubahan iklim dan pencemaran.
Perhimpunan juga sebulat suara bersetuju bagi Brunei dilantik sebagai ahli Lembaga Eksekutif WHO bagi terma Mei 2024 sehingga Mei 2027.
Semasa di Geneva, Yang Berhormat Dato juga membuat perbincangan dua hala bersama Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dr Dzulkefly bin Ahmad, mengenai kerjasama bidang kesihatan yang berkepentingan antara kedua-dua buah negara dan juga serantau.
Beliau juga membuat perjumpaan bersama Pengarah Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC), Dr Elisabete Weiderpass iaitu sebuah agensi kepakaran mengenai kanser WHO.
Perjumpaan itu bertujuan bagi mengetahui mengenai peranan agensi berkenaan dan membincangkan peluang kerjasama dengan agensi itu berkaitan dengan penyelidikan penyakit kanser di Brunei, termasuk penganalisisan data genetik, implementasi dan penilaian program pencegahan kanser, akses kepada maklumat saintifik, program latihan dan fasiliti biobank.