Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei komited pelihara tanah lembap

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Tanah Lembap merupakan sistem hidup yang menghubungkan orang ramai, alam semula jadi dan kemakmuran di mana perlindungannya merupakan asas kepada mencapai kedayatahanan manusia dan integriti alam sekitar.

    Negara Brunei Darussalam menetapkan keutamaan kepada warisan alam semula jadinya dengan hutan meliputi kira-kira 72 peratus kawasan darat negara di mana 21 peratus merangkumi tanah lembap.

    Angka berkenaan mencerminkan bukan sahaja legasi pemuliharaan, tetapi juga komitmen berterusan kepada mengimbangi pembangunan negara dengan pengurusan ekologi.

    Perkara itu diketengahkan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya di Bengkel Pengurusan dan Pemuliharaan Tanah Lembap, Konvensyen Ramsar yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Dayang Noralinda menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis berkenaan.

    Dalam ucapannya lagi, Dayang Noralinda menyatakan bahawa Konvensyen Ramsar adalah lebih daripada hanya satu perjanjian tetapi ia merupakan kerangka kolaboratif iaitu kerjasama yang menyatukan negara dan institusi di bawah visi bersama yang mengenali tanah lembap amat penting kepada kehidupan di bumi.

    Oleh itu, jelasnya, bengkel berkenaan menyediakan platform berharga bagi pertukaran ilmu pengetahuan, memupuk inovasi dan mengukuhkan kerjasama serantau.

    “Melalui dialog dan perkongsian, kita dapat meningkatkan kapasiti kolektif kita untuk memulihara dan mengurus ekosistem ini untuk manfaat semua,” jelasnya.

    Dayang Noralinda bergambar-ramai dengan pembentang dan peserta bengkel selama tiga hari berkenaan.

    Manakala itu, Penasihat Kanan (Asia/Oceania), Sekretariat Konvensyen Ramsar bagi Tanah Lembap, Dr Beom-sik Yoo dan Pengarah Eksekutif Ramsar Regional Center-East Asia (RRC-EA), Seung Ih Suh, dalam ucapan alu-aluan mereka, masing-masing menzahirkan penghargaan atas kerjasama dan komitmen Jabatan Perhutanan dalam memperkukuhkan pengurusan serta pemuliharaan tanah lembap di Negara Brunei Darussalam.

    Bengkel Pengurusan dan Pemuliharaan Tanah Lembap dianjurkan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Perhutanan dengan kerjasama Ramsar Regional Center-East Asia selama tiga hari, bermula 28 Oktober hingga 30 Oktober.

    Seung Oh-Suh menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis berkenaan.
    Dr Beom-sik Yoo menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis berkenaan.

    Bengkel tiga hari berkenaan, menghimpunkan seramai 40 orang peserta daripada pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi yang berkepentingan dalam bidang pengurusan dan pemuliharaan tanah lembap.

    Sepanjang bengkel berkenaan, para peserta berpeluang mengikuti sesi perkongsian ilmu, perbincangan teknikal serta latihan kumpulan mengenai pendekatan saintifik dan dasar dalam pengurusan tanah lembap.

    Bengkel itu merupakan langkah penting bagi memperkenalkan pendekatan bersepadu dalam pengurusan tanah lembap negara di samping memperkukuh kerjasama serantau dan global.

    Antara para peserta yang menyertai bengkel selama tiga hari itu. – GAMBAR-GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Ia antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap nilai ekologi dan ekonomi tanah lembap serta memperkasa strategi penggunaan lestari berasaskan ilmu sains dan amalan terbaik antarabangsa.

    Antara khazanah negara yang menjadi kebanggaan ialah Taman Rekreasi Hutan Pulau Selirong yang melambangkan komitmen negara terhadap perlindungan alam sekitar dan berpotensi besar untuk dicalonkan sebagai tapak Ramsar dalam Senarai Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda