Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei komited perangi jenayah rentas sempadan

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan JPM

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Negara Brunei Darussalam memandang serius isu penyebaran ajaran ekstremis oleh individu-individu yang mempunyai pemahaman yang sesat mengenai konsep ‘jihad’.

    Dalam hubungan itu, agensi-agensi keselamatan di negara ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu-individu terlibat dalam perkara itu.

    Ia ditegaskan oleh Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara pada Mesyuarat Sub-Serantau mengenai Memerangi Keganasan dan Keselamatan Transnasional (SRM) ke-4 di Melbourne, Australia hari ini.

    Mesyuarat tersebut membincangkan isu-isu sekuriti rentas sempadan serantau dan global, termasuklah ancaman pengganas, keselamatan siber dan perlindungan Critical Information Infrastructure (CII).

    Ia dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Keselamatan Siber Australia, Puan Yang Terutama Clair O’Neill dan Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan, Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Mohammad Mahfud MD.

    Antara yang menghadiri Mesyuarat Sub-Serantau mengenai Memerangi Keganasan dan Keselamatan Transnasional ke-4 di Melbourne, Australia.

    Mesyuarat kali ini turut dihadiri oleh menteri-menteri dan para pegawai Kanan dari New Zealand, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.

    Pada mesyuarat itu, Dato Seri Paduka Haji Sufian turut menegaskan Brunei komited mendukung usaha-usaha antarabangsa memerangi jenayah pengganasan yang mana ia adalah salah satu ancaman utama terhadap keselamatan dan kestabilan di rantau ini.

    Beliau turut menjelaskan kerajaan Brunei akan sentiasa melaksanakan usaha-usaha melalui pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government untuk melindungi rakyat dan penduduk Brunei daripada ancaman pengganasan dan ajaran-ajaran ekstremis.

    Menyentuh mengenai keselamatan siber pula, beliau berterima kasih kepada kerajaan Australia dan Singapura atas kerjasama dan pengalaman-pengalaman yang telah dikongsikan dengan Brunei sebelum ini khususnya berkaitan jenayah siber, perlindungan CII dan isu-isu sekuriti yang melibatkan rangkaian 5G.

    Mesyuarat itu juga membincangkan hasil Senior Officials Counter-Terrorism Policy Forum ke-2 yang telah bersidang pada 19 dan 20 Disember 2022 termasuk perkembangan terkini mengenai usaha-usaha untuk memuktamadkan dokumen High-Level Principles for the Protection of Children in Relation to Terrorism and Violent Extremism in the Sub-Region.

    Ia juga mendengarkan taklimat mengenai inisiatif-inisiatif di bawah Counter Terrorism Information Facility (CTIF).

    Semasa berada di Melbourne, Australia, Dato Seri Paduka Haji Sufian juga telah mengambil peluang mengadakan perjumpaan dua hala dengan PYT Clair O’Neill, bagi membincangkan peluang-peluang kerjasama di antara kedua-dua buah negara khususnya dalam bidang keselamatan siber, pe-nguatkuasaan maritim dan keselamatan sempadan.

    Dato Seri Paduka Haji Sufian juga mengadakan perjumpaan muhibah dengan Menteri Negara, Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan, Singapura, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

    Semasa sesi perjumpaan itu, Dato Seri Paduka Haji Sufian telah menzahirkan penghargaan atas kerjasama yang erat di antara Brunei dan Singapura dalam menangani isu-isu sekuriti yang berkepentingan bagi kedua-dua buah negara termasuk isu pengganasan dan ekstremisme, isu berkaitan dadah dan keselamatan siber.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda