Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei komited perkukuh institusi keluarga

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad telah menghadiri Persidangan Keluarga Asia yang diadakan di Republik Singapura pada 6 hingga 7 November.

    Persidangan yang bertemakan Keluarga Asia Yang Kuat dan Berdaya Tahan: Cabaran dan Peluang dikelolakan bersama oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Republik Singapura bersama Universiti Sains Sosial, Singapura.

    Ia dihadiri oleh menteri-menteri ASEAN, ahli-ahli akademik dan ketua-ketua organisasi dari rantau Asia yang bertanggungjawab atas hal ehwal sosial dan kekeluargaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Tharman Shanmugaratnam, manakala ucapan pembukaan telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri Kedua Kesihatan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, Republik Singapura, TYT Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad.

    Pada persidangan itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menyampaikan ucapan yang mengongsikan tajuk Strengthening the Pillars of Society: Brunei Darussalam’s Commitment to Supporting and Enhancing Family Institutions.

    Dalam ucapan tersebut, Yang Berhormat Dato telah mengongsikan mengenai inisiatif-inisiatif Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuhkan institusi keluarga sebagai tonggak pembangunan sosial yang selaras dengan falsafah Melayu Islam Beraja dalam memperkasakan kesejahteraan keluarga melalui dasar-dasar yang menyokong kestabilan dan keharmonian dalam komuniti.

    Persidangan ini juga telah didahului oleh Mesyuarat Khas Menteri-menteri ASEAN mengenai Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial (Special AMMSWD) yang dipengerusikan oleh
    Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti, Malaysia, PYT Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri.

    Di mesyuarat khas tersebut, menteri-menteri ASEAN telah mempersetujui Kerjasama dalam Memahami Keadaan keluarga Asia yang akan membina rangkaian penyelidikan dan kajian mengenai isu-isu keluarga di rantau ini.

    Persidangan itu mengumpulkan pelbagai pakar dan pemimpin dari seluruh Asia untuk membincangkan mengenai strategi, polisi dan amalan terbaik dalam memperkukuhkan institusi keluarga selain membincangkan mengenai program dan amalan-amalan baik berdasarkan bukti untuk memperbaiki hasil keluarga dari segi kedayatahanan keluarga, hubungan, kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menyampaikan ucapan pada persidangan tersebut. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda