Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei komited pulihara marin, sumber laut

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam menghadiri Persidangan Lautan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-3, yang diadakan di Nice, Republik Perancis, pada 9 hingga 13 Jun lalu.

    Menurut kenyataan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), delegasi berkenaan turut disertai oleh Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi berserta pegawai dari KSSUP dan Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Paris, Republik Perancis.

    Persidangan yang membawa tema, Mempercepat Tindakan dan Menggerakkan Semua Pihak untuk Memelihara dan Menggunakan Lautan Secara Mampan, dianjurkan bersama oleh Republik Perancis dan Republik Costa Rica bagi menghimpunkan pembesar-pembesar negara, menteri-menteri serta pihak berkepentingan global yang komited untuk memajukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 14: Kehidupan Dalam Air.

    Semasa sesi pleno, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf telah menyampaikan kenyataan Brunei Darussalam, yang menyatakan komitmen negara dalam pemuliharaan marin dan penggunaan sumber lautan secara lestari.

    Antara inisiatif utama adalah termasuk pewartaan lebih 20 peratus kawasan laut negara sebagai kawasan perlindungan marin, larangan penangkapan ikan yu dan pengeluaran lesen baharu bagi alat pukat tunda, pemasangan takat-takat tiruan, penggunaan sistem pemantauan kapal tangkapan ikan, kempen bebas plastik dan botol plastik.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf menyampaikan ucapan semasa persidangan di Nice, Republik Perancis baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KSSUP
    Delegasi Brunei semasa persidangan tersebut. – GAMBAR SERAHAN KSSUP

    Brunei turut menekankan pendekatan tadbir urus marin berasaskan data melalui penilaian stok ikan bersama Pusat Kemajuan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC), pembangunan Pangkalan Data Stok Perikanan Kebangsaan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pemantauan terumbu karang.

    Usaha-usaha berkenaan adalah sejajar dengan Rangka Kerja Biodiversiti Kunming-Montreal dan Dasar Biodiversiti Kebangsaan serta disokong melalui Pelan Tindakan Strategik dan Dasar Biodiversiti Kebangsaan 2024–2030.

    Semasa persidangan itu, Brunei juga mengumumkan penganjuran Ekspedisi dan Persidangan Antarabangsa Hutan ke Terumbu Karang yang akan diadakan bulan ini serta perancangan untuk menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Lautan pada Jun 2026 bagi mempromosikan kerjasama serantau dan inovasi dalam tadbir urus lautan.

    Penyertaan dalam persidangan peringkat antarabangsa itu mengukuhkan jalinan kerjasama antarabangsa, mendapatkan kepakaran teknikal serta bertukar pandangan mengenai pengurusan laut yang mampan.

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato turut berpeluang mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa rakan antarabangsa dan organisasi berkaitan di mana ia termasuk perbincangan bersama Department of Climate Change, Energy, the Environment and Water, Australia (DCCEEW), Australian Institute of Marine Science (AIMS), Reef Aquaculture Conservancy (ReefAC), United Nation Development Programme, United Nation Environment Programme dan Marine Conservation Institute (MCI).

    Semasa mesyuarat dua hala di antara Yang Berhormat Dato bersama Ketua Pegawai Eksekutif AIMS, Profesor Selina Stead, organisasi berkenaan menyatakan minat untuk terus memperluaskan lagi inisiatif pemantauan terumbu karang di Brunei termasuk ekosistem hutan bakau dan rumput laut.

    Mesyuarat dua hala itu turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Alam Sekitar, Terumbu dan Lautan Antarabangsa, DCCEEW, Australia, Katrina Maguire, yang mengongsikan harapan kerajaan Australia dalam memperkukuhkan kerjasama dengan Brunei dalam pengurusan Kawasan Perlindungan Marin (MPAs).

    Dalam perbincangan bersama Presiden ReefAC, Dr Guillermo A. Corona Herrera, ReefAC bersetuju untuk meneroka peluang kerjasama dengan Brunei dalam memajukan pendekatan ekonomi berteraskan alam semula jadi, khususnya berkaitan dengan ekosistem karbon biru.

    Sementara itu, dialog bersama MCI tertumpu kepada usaha mengenal pasti kerjasama strategik dalam pemuliharaan lautan serta penggunaan dan pengurusan sumber secara mampan bagi ekosistem yang berhubung kait iaitu dari hutan dan hutan bakau, hingga ke rumput laut dan terumbu karang, selaras dengan SDG.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda