Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV- Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam, Pengiran Dr Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra, telah menghadiri EDUtech Asia 2025, yang berlangsung di Sands Expo and Convention Centre, Singapura, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, menyatakan EDUtech Asia telah menghimpunkan para pemimpin pendidikan, penggubal dasar, pendidik dan pakar industri untuk berkongsi pandangan ke arah membentuk masa depan pendidikan.
Dengan membawa tema, Gangguan Positif: Membuka Potensi Tanpa Had Dalam Pendidikan Melalui AI Dan Teknologi, acara tahun ini menandakan ulang tahun penganjurannya yang Ke-10.
Semasa acara berkenaan, Pengiran Dr. Mohamad Iskandar telah menyertai Sidang Kemuncak Dasar EDUtech Asia yang berlangsung pada 4 November, selaku ahli panel.

Sidang eksklusif secara tertutup itu telah menghimpunkan pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Pendidikan serantau termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Filipina, bagi membincangkan isu-isu dasar utama seperti Kecerdasan Buatan, latihan dan pembangunan profesional guru, kemahiran digital, kesiapsiagaan masa hadapan serta inisiatif transformasi digital yang diterajui oleh kerajaan.
Semasa perbincangan panel bertajuk, SDG 4 dan Seterusnya – Dasar Pendidikan ke Arah Masa Depan yang Lestari, Pengiran Dr Mohamad Iskandar telah menekankan bahawa sistem pendidikan Brunei Darussalam berasaskan landasan dasar yang kukuh dan padu, berpandukan Wawasan Brunei 2035 serta sejajar dengan SDG 4.
Pengiran Dr. Muhammad Iskandar menjelaskan bahawa Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN21) dan Pelan Pendidikan Hijau yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan mengamalkan pendekatan bersepadu terhadap kelestarian dan kesiapsiagaan masa depan dengan menerapkan nilai-nilai ini dalam kurikulum, pembangunan guru dan budaya sekolah.

Selain itu, Pengiran Dr. Mohamad Iskandar turut menghadiri Persidangan Premium EDUtech Asia yang telah berlangsung pada 5 November hingga 6 November. Persidangan berkenaan menumpukan perbincangan terhadap isu-isu berkaitan penggunaan Kecerdasan Buatan dalam pendidikan, termasuk bagaimana sekolah dapat berkembang dalam era kerjasama antara manusia dan Kecerdasan Buatan serta langkah-langkah untuk meningkatkan kesiapsiagaan Kecerdasan Buatan di bilik darjah.
EDUtech Asia 2025 telah memberikan peluang bagi Negara Brunei Darussalam untuk mengongsikan mengenai dasar-dasar pendidikan dan berbincang bersama para pakar mengenai trend pendidikan semasa.

