Brunei kongsi perspektif keselamatan serantau

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Persidangan Keselamatan Antarabangsa Moscow (MCIS) ke-9 bermula hari ini di Moscow, Persekutuan Rusia, yang disiarkan langsung secara dalam talian di Kementerian Pertahanan hingga 24 Jun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof buat julung kalinya menyertai persidangan tersebut sebagai salah seorang speaker jemputan dan memberikan ucapan semasa sesi pleno yang membincangkan rantau Asia Pasifik dalam konteks politik global.  

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Pehin mengongsikan perspektif Negara Brunei Darussalam mengenai hal ehwal keselamatan serantau dan antarabangsa serta berkongsi hasil positif yang dicapai melalui kerangka kerja kerjasama di bawah Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus dalam menangani isu-isu keselamatan yang luas. 

Dalam hubungan ini, Yang Berhormat Pehin menyampaikan penghargaan terhadap sokongan Rusia kepada Pemusatan ASEAN sepanjang 25 tahun kerjasama Dialog ASEAN-Rusia termasuk aktiviti di bawah Kumpulan Kerja Pakar ADMM-Plus dan di sektor berkaitan keselamatan ASEAN yang lain mengenai antipengganasan dan jenayah merentas negara serta penglibatan mereka dalam arkitektur keselamatan serantau yang berkembang.

Turut hadir pada persidangan itu ialah setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pegawai-pegawai dari jabatanarah-jabatanarah perisikan dan dasar pertahanan, serta Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah. 

Persidangan dibuka dengan video ucapan alu-aluan daripada Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Tuan Yang Terutama Antonio Guterres.

Menteri Pertahanan Persekutuan Rusia, Army General Sergei Shoigu juga menyampaikan kenyataan beliau semasa perasmian persidangan tersebut.

MCIS merupakan acara tahunan yang diadakan sejak 2012 oleh Kementerian Pertahanan Persekutuan Rusia yang bertujuan untuk memupuk kefahaman mengenai isu-isu keselamatan yang membentuk dan mempengaruhi persekitaran strategik, di mana para peserta persidangan membahaskan agenda keselamatan global dan serantau.

Antara isu-isu yang diketengahkan pada persidangan tahun ini termasuk perbincangan mengenai peranan tentera dalam situasi COVID-19, keselamatan maklumat, serta prospek kerjasama ketenteraan yang melibatkan Rusia dan rakan-rakan serantau.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua semasa menghadiri persidangan MCIS ke-9 secara maya. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan