Wednesday, November 27, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei konsisten sokong Timor-Leste jadi ahli ASEAN

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Negara Brunei Darussalam secara konsisten menyokong Timor-Leste untuk menjadi anggota ASEAN sejak ia secara rasmi mengumumkan hasratnya pada 2011.

    “Komitmen kami kekal teguh, dan hari ini, Beta ingin mengulangi sokongan Brunei Darussalam tidak berbelah bahagi untuk Timor-Leste menjadi ahli dalam ASEAN.”

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sedemikian semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Santap Negara bagi meraikan Presiden Demokratik Republik Timur-Leste, Tuan Yang Terutama Dr Jose Ramos-Horta serta rombongan yang mengadakan Lawatan Negara selama empat hari ke negara ini, yang berlangsung di Istana Nurul Iman, malam ini.

    Baginda Sultan juga bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam akan mengalu-alukan pegawai dari Timor-Leste untuk menyertai program Fellowship Junior ASEAN bagi tujuan untuk memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang ASEAN.

    Ini akan membantu membina kepercayaan dan persahabatan yang lebih mendalam di kalangan pegawai rendah dan membantu mereka bekerjasama dengan rapat untuk memastikan pemusatan dan perpaduan ASEAN pada masa hadapan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah pada majlis santap bagi mengalu-alukan TYT Dr Jose Ramos-Horta dan rombongan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan berangkat ke majlis santap berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Terdahulu, Baginda Sultan bertitah tahun 2002 merupakan tahun yang sangat penting bagi Negara Brunei Darussalam menjalinkan hubungan diplomatik, di mana sepanjang dua dekad yang lalu, negara secara konsisten memupuk hubungan mesra, termasuk mewujudkan misi di ibu kota masing-masing.

    Titah Baginda lagi, sejarah akan sentiasa mengingati komitmen dan dedikasi Presiden Timor-Leste yang tidak berbelah bahagi dalam memimpin negara itu ke arah kemerdekaan sepenuhnya pada 2002. Pencapaian penting ini diikuti dengan melaksanakan dasar yang mantap untuk merealisasikan visi Timor-Leste untuk menjadi sebuah negara yang kuat dan makmur.

    Baginda juga menyentuh mengenai memupuk kerjasama yang erat dalam pendidikan dan pertukaran antara rakyat. Rakyat kedua-dua buah negara telah menjalin kerjasama yang kukuh melalui pelbagai pertukaran teknikal dan program pembinaan kapasiti.

    “Negara Brunei Darussalam berbesar hati untuk menawarkan dua biasiswa yang dibiayai sepenuhnya setiap tahun untuk tiga tahun akan datang khas untuk pelajar Timor-Leste untuk melanjutkan pelajaran mereka di institusi pengajian tinggi kami.

    “Kami juga mengalu-alukan minat awda untuk meneruskan kerjasama kesihatan, termasuk melalui latihan untuk profesional perubatan awda. Selain itu, kami juga mengalu-alukan peluang untuk mengukuhkan kerjasama dalam sektor tenaga,” titah Baginda.

    Sementara itu, TYT Dr Jose Ramos-Horta dalam ucapan balas menyentuh beberapa perkara dalam pelbagai bidang kerjasama antara kedua-dua buah negara.

    Menurut beliau, Brunei adalah antara negara pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Timor-Leste pada hari Kemerdekaan pada Mei 2002.

    Tuan Yang Terutama seterusnya mengongsikan, beliau mengadakan lawatan ke negara ini pada dua dekad lalu atas kapasiti sebagai Menteri Kanan Hal Ehwal Luar.

    “Apa yang saya lihat dahulu dan apa yang saya lihat sekarang, Brunei telah mencapai dan berubah begitu banyak dalam tempoh 20 tahun berkenaan pembangunan infrastruktur dan sosioekonominya, termasuk pembinaan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang ikonik, dan saya percaya ia adalah yang terpanjang di Asia Tenggara.”

    Tuan Yang Terutama berkata, terdapat sinergi yang hebat antara kedua-dua buah negara dan Timor-Leste banyak belajar daripada Brunei Darussalam dalam pelbagai bidang khususnya dalam bidang kesihatan, pendidikan, tenaga dan alam sekitar.

    “Kami berharap untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala bermula dengan tenaga kerja buruh pada majlis menandatangani hari ini, dan dalam bidang lain termasuk perdagangan, pelancongan dan pelaburan,” tambahnya.

    Berangkat sama pada majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Majlis Santap Negara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Baginda Sultan seterusnya berkenan mengurniakan titah dan diikuti ucapan balas daripada TYT Dr Jose Ramos-Horta.

    Juga hadir semasa majlis itu ialah rombongan yang terdiri daripada Naib Perdana Menteri, Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Tuan Yang Terutama Francisco Kalbuadi Lay dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Kerjasama, Tuan Yang Terutama Bendito Dos Santos.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda