Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei, Korea rai hubungan diplomatik ke-40

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Bagi meraikan ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea ke-40, majlis menanam pokok telah diadakan di Taman Komuniti Mullae, Daerah Yeongdeungpo, Seoul, Republik Korea, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, acara itu merupakan simbol persahabatan berkekalan dan kerjasama berkembang antara kedua-dua negara yang mempunyai komitmen yang sama untuk menangani perubahan iklim dan mempromosikan pemuliharaan hutan.

    Acara itu dianjurkan dengan kerjasama Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Seoul, Asian Forest Cooperation Organization (AfoCO) dan Daerah Yeongdeungpo-gu dengan sokongan Kementerian Hal Ehwal Luar Republik Korea dan KSSUP Negara Brunei Darussalam.

    Acara berkenaan disertai oleh Ketua Pengarah Hal Ehwal Asia Tenggara dan ASEAN, Kementerian Hal Ehwal Luar Republik Korea, Kim Dong-ba; Wakil Perhimpunan Daerah Yeongdeungpo, Cha In-young; Datuk Bandar Daerah Yeongdeongpo, Choi Ho-gwon; Duta Negara Brunei Darussalam ke Korea, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Nooriyah binti PLW Pengiran Haji Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap KSSUP, Dayang Noralinda binti Ibrahim; dan Pengarah Eksekutif AFoCO, Dr Park Chong-ho.

    Pokok Karamel Korea (Cercidiphyllum japonicum), Gyesunamu dalam bahasa Korea, telah ditanam dalam acara berkenaan. Pokok karamel mempunyai bentuk yang cantik dengan daun berbentuk hati yang unik.Ia terkenal dengan bau manis dan warna yang cantik pada musim luruh serta tumbuh dengan baik di persekitaran yang keras.

    Pokok itu melambangkan persahabatan berkekalan dan kerjasama antara kedua-dua buah negara selama 40 tahun.

    GAMBAR SERAHAN KSSUP
    GAMBAR SERAHAN KSSUP
    Gambar ramai ahli yang terlibat semasa acara penanaman pokok di Taman Komuniti Mullae, Daerah Yeongdeungpo, Seoul. – GAMBAR SERAHAN KSSUP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda