Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei, Korea terus perkukuh hubungan diplomatik

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam meraikan Hari Kebangsaan Korea pada majlis resepsi di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar. Turut hadir para perwakilan asing, jemputan khas serta rakan-rakan Korea.

    Dalam ucapannya, Duta Besar Republik Korea ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook menekankan bahawa sejak menjalin hubungan diplomatik pada 1984, Korea dan Brunei terus menikmati persahabatan yang kukuh selama lebih empat dekad.

    “Pada tahun 2024, sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik, pelbagai pertukaran peringkat tinggi telah diadakan termasuk Mesyuarat Menteri Luar pada Julai dan sidang kemuncak semasa Mesyuarat Pemimpin APEC,” katanya.

    Dari segi ekonomi, beliau menjelaskan nilai perdagangan dua hala pada tahun 2024 mencecah $543.3 juta, menjadikan Korea antara rakan dagangan utama Brunei.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan TYT Sun Nahmkook memotong kek pada majlis itu. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Syarikat-syarikat Korea turut memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur, termasuk penyertaan Syarikat Daelim dalam pembinaan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (Temburong) serta penglibatan pembina kapal Korea dalam projek pusat penyelenggaraan maritim dan pelupusan kapal di Pulau Muara Besar.

    Selain itu, acara permulaan kerjasama dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) antara syarikat Korea dan Brunei akan diadakan tidak lama lagi, menandakan bab baharu dalam hubungan teknologi kedua-dua negara.

    Beliau turut menekankan bahawa pertukaran budaya dan pendidikan antara kedua-dua negara juga semakin rancak.

    Antara inisiatif tahun ini termasuk Festival Korea, Kejohanan Taekwondo Piala Duta kali ke-5, K-Dream Night serta program orientasi pelajar Brunei yang bakal melanjutkan pengajian di Korea.

    Selain itu, lima pelajar Brunei yang cemerlang turut menerima Biasiswa Global Korea (GKS) untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan sarjana muda.

    Sebagai penutup, beliau melahirkan keyakinan terhadap masa depan hubungan Korea-Brunei yang semakin berkembang.

    “Kami amat menantikan lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Sidang Kemuncak APEC di Gyeongju, Korea pada Oktober ini,” ujar beliau.

    Majlis juga menyaksikan acara memotong kek oleh tetamu kehormat dan Duta Besar Republik Korea ke Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda