Monday, October 14, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei kukuhkan kerjasama sains, teknologi, inovasi di S’pura

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Negara Brunei Darussalam telah menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN Ke-86 (COSTI-86) serta mesyuarat-mesyuarat lain yang berkaitan yang berlangsung di Republik Singapura pada 7 hingga 11 Oktober lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, menyatakan delegasi negara ke mesyuarat-mesyuarat berkenaan telah diketuai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

    Delegasi turut disertai oleh pegawai-pegawai dan wakil-wakil daripada MTIC termasuk Jabatan Kaji cuaca, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Universiti Brunei Darussalam serta Universiti Teknologi Brunei.

    Mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Negara, Kementerian Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi (MISTI), Kemboja, Tuan Yang Teruatma Dr Hul Seingheng, bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama serantau dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) di ASEAN.

    Dalam mesyuarat berkenaan, perbincangan tertumpu kepada beberapa isu penting termasuk perkembangan terkini mengenai sains, teknologi dan inovasi di ASEAN, Keutamaan Tahunan 2024 dan cadangan Keutamaan Tahunan 2025 serta penilaian status pencapaian Priority Economic Deliverable (PED) bagi 2024 dan cadangan bagi PED 2025.

    Selain itu, kerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa seperti Kesatuan Eropah, Australia dan China turut dibincangkan dalam usaha memperkukuhkan ekosistem sains dan inovasi di ASEAN.

    Perbincangan mengenai Pelan Tindakan Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (APASTI) 2026-2035 juga menjadi agenda penting, di mana pelan itu diselaraskan dengan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026-2030 bagi menyediakan hala tuju bagi pembangunan inovasi dan teknologi di ASEAN.

    Terkini, ASEAN dan perunding Australia for ASEAN Futures kini berada di peringkat akhir dalam mengenal pasti perunding bagi merangka APASTI 2026-2035, susulan daripada dua proses tender yang telah selesai.

    Perunding yang dipilih akan memulakan penyediaan draf APASTI selepas Sidang Kemuncak ASEAN di Lao PDR dengan mandat untuk mendefinisikan aspirasi COSTI bagi 2026-2030, selaras dengan ASEAN Vision 2045.

    Juga turut dibincangkan adalah Dana Sains, Teknologi, dan Inovasi ASEAN (ASTIF) serta cadangan bagi memperluaskan pembiayaan inisiatif saintifik di ASEAN.

    Selain itu, Lembaga Penasihat kepada COSTI (Board of Advisors to COSTI -BAC) dan pengerusi-pengerusi bagi jawatankuasa-jawatankuasa kecil COSTI juga membentangkan laporan kemajuan kerja masing-masing dalam pelbagai bidang sains seperti pembangunan infrastruktur dan sumber sains dan teknologi, penyelidikan tenaga lestari, meteorologi dan geofizik serta sains dan teknologi pemakanan.

    Antara hasil utama yang dicapai sepanjang Mesyuarat COSTI-86 termasuk pengiktirafan cadangan negara untuk mengintegrasikan Kecerdasan Buatan (AI) ke dalam ASEAN Journal on Science and Technology for Development (AJSTD) sebagai Keutamaan Tahunan 2025.

    Projek yang diterajui oleh negara itu merupakan satu langkah penting ke arah memajukan analisis akademik di ASEAN melalui teknologi AI.

    Selepas COSTI-86, Mesyuarat ASEAN-U.S Consultancy on Science and Technology ke-12 (AUSCST-12) turut diadakan dengan dipengerusikan bersama oleh Dr. Hul Seingheng dan Pengarah Pejabat Kerjasama Sains & Teknologi, Jabatan Negara Amerika Syarikat, Puan Holly Waeger Monster.

    Mesyuarat AUSCST-12 memberi tumpuan kepada perkembangan kerjasama sains, teknologi, dan inovasi antara ASEAN dan Amerika Syarikat, termasuk Majlis Penganugerahan The Underwriter’s Laboratories-ASEAN-U.S Science Prize for Women 2024.

    Sesi gambar ramai oleh peserta-peserta mesyuarat berkenaan.
    Haji Mohammad Nazri semasa menghadiri mesyuarat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MTIC 

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda