Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei lakar pencapaian penting dalam pelancongan pelayaran

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Negara Brunei Darussalam terus melakar pencapaian penting dalam pelancongan pelayaran apabila negara mengalu-alukan ketibaan kembali kapal pelayaran Oceania Insignia di Terminal Pelabuhan Muara, setelah lawatan terakhir kapal berkenaan pada 2023.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, hari ini, ketibaan Oceania Insignia menjadikannya kapal pelayaran antarabangsa keempat yang berlabuh di Pelabuhan Muara pada tahun ini, berikutan lawatan kapal pelayaran, Crystal Symphony pada 10 Mac lalu.

    Peningkatan berterusan dalam ketibaan kapal pelayaran pasca-COVID membantu menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi kapal pelayaran menarik di Asia Tenggara.

    Kapal Oceania Insignia meneruskan pelayaran dengan berlepas dari Surabaya, Indonesia dan tiba di negara ini dengan membawa seramai 601 orang penumpang dan 400 orang kru kapal.

    Pelancong-pelancong berkenaan diberikan peluang untuk turun dan mengikuti pakej bagi meneroka mercu tanda terkenal negara termasuk Muzium Alat Kebesaran Diraja, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Istana Nurul Iman dan Kampong Ayer.
    Semasa lawatan singkat itu, mereka juga berpeluang untuk menikmati pelbagai juadah makanan dan minuman serta berpeluang bagi mendapatkan cenderamata kenang-kenangan tradisional Brunei.

    Ketibaan para pelancong yang mengikuti pelayaran tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

    Menurut salah seorang penumpang, Steve dari Amerika Syarikat, lawatan pertamanya ke negara ini adalah amat menarik dan beliau terpegun dengan ketenangan Pantai Rekreasi Muara.

    Sebagai seorang pencinta pantai, beliau berpeluang untuk mengambil gambar-gambar menarik serta berpeluang menyusun timbunan batu sebagai kenangan.

    Sementara itu, seorang lagi penumpang dari Australia, Lili memuji reka bentuk seni bina yang menakjubkan masjid-masjid ikonik yang dilawatnya serta terpegun dengan pengalaman meneroka Kampong Ayer.

    Elena dari United Kingdom yang melawat Brunei buat kali pertama, merakamkan keterujaannya ketika melawat Istana Nurul Iman serta menyatakan amat menikmati keindahan persekitaran hijau serta kehidupan liar mantap negara.

    Negara Brunei Darussalam dijadualkan akan menerima lawatan daripada dua buah kapal pelayaran lagi pada tahun di mana kapal pelayaran seterusnya dijadualkan bagi membuat kunjungan pertamanya ke Brunei.

    Kapal pelayaran, Seven Seas Explorer dijangka tiba di perairan Negara Brunei Darussalam pada 28 November nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda