Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Negara Brunei Darussalam mencatatkan satu kes import baharu jangkitan COVID-19, hari ini, membawa jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 225 orang.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, kes 225 ialah seorang perempuan berumur 37 tahun yang telah tiba ke Brunei dari Mesir melalui Kuala Lumpur pada 16 April, bagaimanapun, beliau tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan.
Penyiasatan dan pengesanan kontak telah mendapati tiga orang kontak terdekat bagi kes berkenaan dan mereka telah diarahkan untuk menjalani kuarantin serta ujian bagi virus SARS-CoV-2, tambah kenyataan.
Manakala itu, dua kes jangkitan COVID-19 dilaporkan sembuh dan ini, menjadikan jumlah kes sembuh kepada 217 orang dengan lima kes aktif sedang dirawat serta tiga kematian.
Kesemua kes aktif yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan berada dalam keadaan yang baik.
Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan pada 6 Mei 2020 iaitu 359 hari yang lalu dan jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah 84 kes.
Kenyataan turut mengongsikan, seramai 430 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dan jumlah mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 ialah seramai 17,488 orang.
Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 315 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 120,885 ujian.
Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi
Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi, BruHealth.