Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Brunei Darussalam akan beraksi dalam saingan pusingan kedua bertemu Indonesia dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Pusingan Pertama Persatuan Bola sepak Asia (AFC) pada esok malam bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Sehubungan itu, pada pagi tadi, sidang media bersama pasukan kebangsaan dari Negara Brunei Darussalam dan Indonesia telah mengambil tempat di Bilik Press Conference Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang turut dihadiri oleh para pengamal media tempatan dan dari Indonesia.
Menjelang perlawanan tersebut Pelatih Timnas Indonesia, Shin Tae-Yong semasa sidang media berkenaan menjelaskan bahawa meskipun pasukan kendaliannya berjaya mengalahkan pasukan kebangsaan Brunei pada perlawanan sebelumnya, pasukannya akan tetap memberikan fokus yang tinggi dalam perlawanan pada malam esok tambahan lagi bermain di tempat lawan dengan cuba menunjukkan permainan yang terbaik pada perlawanan itu nanti.
Pasukan kebangsaan Brunei menunjukkan kesungguhan dan usaha yang cukup tinggi pada perlawanan sebelumnya ketika bermain di Indonesia jelas Pelatih Timnas Indonesia itu lagi, oleh itu beliau menjangkakan pasukannya harus bijak menyesuaikan diri pada perlawanan pada kali ini di mana mereka (Brunei) bermain di tempat sendiri.

Ikuti berita lanjut di Media Permata keluaran Selasa.

