Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei LNG anjur kempen kebersihan pantai

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    TUTONG, 16 OGOS – Dengan komitmen berterusan Brunei LNG Sdn Bhd dalam sama-sama menyokong secara aktif usaha komuniti demi masa depan yang mampan, satu acara kempen kebersihan pantai telah diungkayahkan di sepanjang Pantai Seri Kenangan dan Jalan Pengasing di Daerah Tutong, pagi tadi.

    Acara yang dilaksanakan dengan kerjasama Green Brunei itu antara-nya bertujuan untuk memberikan peluang yang baik kepada pasukan kepimpinan dan para kakitangan Brunei LNG termasuklah golongan pekerja Brunei LNG di bawah kumpulan BLNGolden Hearts dan BLNG Eco Eagles untuk memanfaatkan masa lapang bersama warga Daerah Tutong menerusi aktiviti kempen tersebut.

    Antara yang terlibat menjayakan aktiviti kempen berkenaan ialah Jabatan Daerah Tutong dan Jabatan Bandaran Tutong; golongan pelajar terdiri dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah (SMSB) dan pelajar-pelajar dalam Program Keusahawanan Kemampanan Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong (SMMHT).

    Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat sekali gus bersama-sama menyertai kempen berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.

    Turut hadir, ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, selaku Ketua Kampung Sengkarai Daerah Tutong; dan Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya.

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Adeleye Falade, bersama dengan Pengurus Aset, Haji Zalani bin Haji Lalim dalam ucapan perasmian mereka menekankan kebersihan sebagai keutamaan di Brunei LNG, dan juga menitikberatkan akan kepentingan bekerjasama dengan masyarakat untuk memupuk rasa tanggungjawab dan pemilikan dalam usaha memastikan komuniti yang lebih kukuh serta lebih prihatin terhadap alam sekitar yang komited untuk melindungi persekitaran semula jadi.

    Menerusi kempen tersebut sejumlah 466.07 kilogram sisa yang terdiri daripada botol kosong, beg plastik, sisa makanan dan pelbagai barangan lain berjaya dikumpul.

    Dengan mempromosikan amalan kemampanan dan menyebarkan kesedaran kepada penduduk tentang kesan sisa, Brunei LNG menggalakkan tindakan berterusan dalam mengekalkan dan menambah baik persekitaran setempat, di samping tetap berdedikasi untuk menyemai penjagaan alam sekitar pada jangka panjang dalam komuniti agar mewujudkan Negara Brunei Darussalam yang lebih bersih dan mampan.

    Kelihatan golongan muda ikut serta dalam acara kempen kebersihan di sekitar pantai yang diadakan di Pantai Seri Kenangan dan Jalan Pengasingan di Daerah Tutong, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : Antara yang terlibat dalam kempen tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda