Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei LNG anjur Projek Book Charity Run

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 31 Julai – Sebagai sebahagian daripada Pelaburan Sosial Strategik untuk membantu pembangunan pembelajaran di Negara Brunei Darussalam, Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd (Brunei LNG), telah menganjurkan satu Projek Book Charity Run di Sekolah Rendah Labi hari ini.

    Projek juga bertujuan meningkatkan kadar celik huruf dan mempromosikan budaya membaca dalam kalangan generasi muda ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dikendalikan oleh Brunei LNG dengan kerjasama sekumpulan graduan muda yang berusaha mendekati masyarakat dengan mewujudkan suasana menyeronokkan dan kondusif kepada pelajar.

    Seramai 39 pelajar Pra, Tahun 1 hingga Tahun 6 bersama 12 orang guru-guru dan guru besar mereka menyertai projek tersebut.

    Hadir sama ialah Pemangku Ketua Kluster 6 Jabatan Sekolah-sekolah Daerah Belait, Dayang Annie Sindai yang melahirkan penghargaan atas inisiatif Brunei LNG dalam membantu pihak sekolah menerap dan menyemai budaya membaca, pembelajaran dan mengenali huruf melalui aktiviti menyeronokkan bagi para pelajar.

    Menurutnya lagi, selain menjalani pembelajaran menyeronokkan, para pelajar juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan berharap lebih banyak badan-badan bukan kerajaan (NGO) tampil melakukan aktiviti seumpamanya demi meningkatkan kecerdikan para pelajar.

    Antara kakitangan Syarikat Brunei LNG yang menyertai Projek Book Charity Run bergambar ramai bersama guru-guru dan pelajar Sekolah Rendah Labi. – Gambar dari Brunei LNG.
    Penyampaian hadiah kepada kumpulan pelajar yang memenangi aktiviti yang dipertandingkan.

    “Kami berharap kerjasama seperti ini akan dapat diteruskan demi mempertingkatkan skil pengajaran, pembelajaran, penulisan, pembacaan dan pertuturan terutama dalam Bahasa Inggeris serta tatacara pengajaran guru dan sebagainya,” ujarnya.

    Projek tersebut memfokuskan interaksi maksimum dengan para pelajar, dimulakan ucapan pembukaan guru besar, sesi suai kenal, pertandingan mengeja dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, membaca buku cerita dan penyerahan sumbangan buku-buku kepada sekolah serta diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

    Sumbangan buku disampaikan oleh Jurutera Projek Syarikat Brunei LNG, Dayang Yumni Hamizah binti Haji Hamdani kepada Guru Besar Sekolah Rendah Labi, Awang Khairul bin Mashud selaku wakil syarikat berkenaan.

    Separuh daripada buku-buku adalah disumbangkan oleh kakitangan Syarikat Brunei LNG dan separuh lagi ditaja oleh syarikat tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda