Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 25 APRIL – Brunei LNG Sdn Bhd menganjurkan One BLNG and Community Raya untuk pihak berkepentingan dan masyarakat luas di Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC), hari ini.
Acara tersebut bertemakan Mengeratkan Silaturahim, untuk menekankan kepentingan memupuk hubungan yang bermakna, bukan sahaja kepentingan membina hubungan dalam kalangan terdekat tetapi juga memperluaskan muhibah dan persefahaman kepada rangkaian pemegang kepentingan yang lebih luas.
Antara yang hadir pada acara tersebut ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin dan Yang Berhormat Chong Chin Yee, wakil-wakil daripada agensi kerajaan, ketua-ketua kampung, serta ahli-ahli pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).
Acara itu dihoskan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Adeleye Falade, bersama ahli-ahli pasukan kepimpinan BLNG yang lain.
Sambutan bermula pada sebelah pagi bersama pihak berkepentingan, manakala penduduk Mukim Liang dan Tutong menghadiri sambutan tersebut pada sebelah petang.
Majlis tersebut menyaksikan beberapa persembahan, permainan dan aktiviti dengan pelbagai hidangan untuk memeriahkan lagi perayaan itu.
Acara One BLNG and Community Raya menunjukkan semangat perpaduan, bukan sahaja menyatukan komuniti Mukim Liang Lumut dan Tutong bersama pihak berkepentingan luar tetapi juga berdedikasi dan menghargai sebagai satu komuniti yang harmoni.
Selain itu, ia berfungsi sebagai platform untuk memupuk kepercayaan, menggalakkan persefahaman, dan memupuk muhibah bersama dalam komuniti.