Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei LNG, Pixelated Enterprise meterai kontrak i-Usahawan

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 15 OGOS – Brunei LNG Sdn Bhd hari ini telah menandatangani kontrak i-Usahawan dengan Pixelated Enterprise yang berlangsung di Ibu Pejabat Brunei LNG, di mana secara tidak langsung menunjukkan dedikasinya untuk menyokong dan memperkasakan pembangunan belia negara.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut, Ketua Bahagian Tenaga Manusia dan Tenaga di Bahagian Nilai Dalam Negara, Jabatan Tenaga, Hajah Noorul Farizalina binti Abdul Karim, yang diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan pemilik Pixelated Enterprise, Awang Mohamad Izzuddin bin Haji Mohd Hussin, serta wakil dari Jabatan Tenaga, dan Darussalam Enterprise (DARe).

    Kehadiran tetamu telah dialu-alukan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Adeleye Falade, wakil pasukan kepimpinan Brunei LNG, dan kakitangan Brunei LNG.

    Dalam ucapan pembukaan, Falade menekankan kepentingan perkongsian baharu untuk pembangunan perniagaan tempatan, sejajar dengan matlamat wawasan 2035 dalam menyediakan peluang kepada rakyat Brunei bagi meningkatkan kemahiran industri mereka.

    Selain itu, beliau juga menekankan bagaimana i-Usahawan merupakan saluran yang menjanjikan bagi Brunei LNG untuk bekerjasama dengan vendor perkhidmatan, memupuk nilai dalam negara bagi belia dalam pengalaman industri, pasaran baharu untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), di samping membolehkan Brunei LNG menyokong bakat tempatan serta membina tenaga kerja mahir bagi bangsa.

    Pengarah Urusan Brunei LNG menyampaikan ucapannya. – GAMBAR SERAHAN BRUNEI LNG
    Majlis penandatanganan kontrak antara Hajah Sujanatulwati dan Awang Mohd Izzuddin, dan disaksikan oleh Falade. – GAMBAR SERAHAN BRUNEI LNG

    Sementara itu, Awang Mohamad Izzuddin dalam ucapannya menyentuh tentang cara mengatasi cabaran dalam industri dan menekankan nilai bagi menyediakan perkhidmatan yang sejajar dengan Pelan Induk Digital Brunei serta menyokong perjalanan Negara Brunei Darusalam ke arah kepelbagaian ekonomi.

    Majlis diakhiri dengan penandatanganan kontrak antara Pengurus Kontrak dan Perolehan Brunei LNG, Hajah Sujanatulwati binti Haji Minudin, dan Awang Mohd Izzuddin; yang disaksikan oleh Falade.

    Program i-Usahawan merupakan inisiatif utama jabatan berkenaan, yang dilancarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 1 Ogos 2018 yang meneroka kontrak berisiko rendah merentasi pelbagai kuadran di bawah program tersebut.

    Kontrak i-Usahawan antara Brunei LNG dan Pixelated Enterprise menandakan kontrak pertama yang diberikan di bawah kuadran yang sangat khusus, seperti kontrak Pengimbasan Dokumen dan Pendigitalan.

    Kontrak itu menawarkan peluang kepada vendor untuk melaksanakan kaedah pendigitalan dan menyokong komitmen Brunei LNG bagi menjadi lebih mampan serta cekap, melalui teknologi moden dan automatik.

    Kontrak itu juga berfungsi sebagai peluang untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan memupuk individu yang mempunyai keperluan khusus, di bawah panji-panji program Employ Ability Enabled Brunei LNG.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda