Oleh Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Sebalik tahun 2020 yang sangat mencabar, Brunei LNG Sdn Bhd bersama Sekolah Rendah Lumut dan Sekolah Ugama Lumut selaku jawatankuasa penganjur masih dapat menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Akademik Brunei LNG (BAEA) bagi 2019 bagi meraikan pencapaian para pelajar dan guru di Daerah Belait yang telah berlangsung di dewan-dewan Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC), kelmarin.
Antara anugerah berprestij yang disampaikan semasa acara itu adalah Pencapaian bagi Sekolah Terbaik 2019 bagi sekolah-sekolah rendah, menengah dan agama yang mana bagi tahun ini, Sekolah Rendah Terbaik dimenangi Sekolah Chung Hua, Kuala Belait, sementara Sekolah Menengah Terbaik disandang oleh Sekolah St Margaret, Seria dan Sekolah Ugama Sungai Liang memenangi anugerah Sekolah Ugama Terbaik.
BAEA2019 merupakan majlis penganugerahan ke-18 yang diadakan oleh Brunei LNG sejak 2002, yang merupakan sebahagian daripada strategik pelaburan sosial syarikat dengan memfokuskan terhadap mengiktiraf pembangunan akademik di peringat berlainan di daerah ini.
Hadir selaku tetamu kehormat menyaksikan acara dan menyampaikan beberapa anugerah kepada pelajar dan guru ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib yang diiringi oleh beberapa orang pasukan kepimpinan Brunei LNG serta orang berkepentingan di Daerah Belait.
Pengerusi majlis, Hajah Mizawati binti Haji Marusin dalam ucapannya menyatakan bahawa disebabkan pandemik COVID-19, sejak awal Mac 2020, majlis anugerah akademik berkenaan telah ditangguhkan kepada tahun ini.
Sekolah Rendah Lumut dan Sekolah Ugama Lumut, katanya lagi, bernasib baik untuk mendapat peluang menghoskan acara berprestij itu.
Menurut beliau, lebih 165 orang pelajar dan 19 orang guru menerima anugerah dalam pelbagai kategori pada majlis itu, yang bukan sahaja mengiktiraf usaha keras mereka malah menggalakkan para penerima anugerah serta pelajar lain untuk melakukan yang terbaik.
Antara anugerah yang disampaikan termasuk bagi peperiksaan akhir tahun sekolah rendah dan sekolah agama (bagi kawasan Mukim Liang sahaja), Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah, Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU), Peperiksaan Brunei Cambridge GCE O Level dan Brunei Cambridge GCE A Level. Turut disampaikan ialah Anugerah Guru Terbaik bagi setiap mata pelajaran.