Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei, Malaysia kemas kini perjanjian perkhidmatan udara

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan MTIC

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Negara Brunei Darussalam dan Malaysia telah memeterai Perjanjian Perkhidmatan-perkhidmatan Udara yang telah ditandatangani di Langkawi, Malaysia, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, menandatangani perjanjian bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan kerajaan Malaysia diwakili oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Tuan Yang Terutama Anthony Loke Siew Fook.

    Hadir menyaksikan penandatanganan perjanjian ialah Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin @ Haji Mohd Saidin.

    Perjanjian berkenaan ialah perjanjian yang diperbaharui yang mengemaskinikan Perjanjian Perkhidmatan-perkhidmatan Udara yang telah dimeterai pada 14 Februari 1992 di mana hak-hak pengangkutan antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia telah ditambah baik.

    Pemodenan perjanjian berkenaan adalah bagi memastikan perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan udara komersial kedua-dua buah negara dapat dilaksanakan dengan liberal dan selaras dengan piawaian serta garis pandu terkini yang disediakan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) termasuk peraturan-peraturan dan perundangan yang ada di kedua-dua buah negara.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dan TYT Anthony Loke Siew Fook bertukar-tukar dokumen Perjanjian Perkhidmatan-Perkhidmatan Udara sambil disaksikan oleh TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan TYT Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud di Langkawi, Malaysia, kelmarin.
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa bertemu TYT Anthony Loke Siew Fook di Langkawi, Malaysia.
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa mengadakan pertemuan bersama Menteri Pengangkutan dan Penerbangan Somalia.

    Ia juga dapat mempertingkatkan kesalinghubungan udara serta membuka peluang-peluang kerjasama antara syarikat-syarikat penerbangan yang ditetapkan dan destinasi antara kedua-dua buah negara.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary juga telah menghadiri Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2023 (LIMA ’23) yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, Malaysia dari 23 Mei hingga 27 Mei.

    LIMA ’23 merupakan pameran kali ke-16 yang dikendalikan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan Malaysia serta dianjurkan setiap dua tahun.

    Pameran yang juga diselajurkan dengan persidangan-persidangan pengangkutan udara dan maritim itu telah disertai oleh delegasi daripada pentadbir-pentadbir, pengawal selia dan pihak komersial antarabangsa yang mempamerkan pelbagai produk komersial maritim, aeroangkasa serta produk teknologi terkini.

    Yang Berhormat Pengiran Dato juga telah mengadakan perjumpaan-perjumpaan muhibah bersama Menteri Pengangkutan Malaysia dan Menteri Pengangkutan dan Penerbangan Somalia secara berasingan.

    Perjumpaan-perjumpaan muhibah itu adalah bagi meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua buah negara dan bagi bertukar-tukar buah fikiran dalam menangani isu serta cabaran yang serupa bagi kedua-dua buah negara.

    Turut serta dalam delegasi Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi ke LIMA ’23 ialah Setiausaha Tetap di MTIC, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof serta pegawai-pegawai kanan dari MTIC.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda