Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Tahun 2024 merupakan tahun yang bersejarah bagi Malaysia dan Negara Brunei Darussalam, kerana kedua-dua buah negara menyambut ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik ke-40.
Dalam hubungan itu, pelbagai program diatur sepanjang 2024, antaranya pada Mei nanti, akan menyaksikan penganjuran pertandingan bola sepak persahabatan yang digelar Battle of the Legends, di mana bekas pemain-pemain bola sepak antarabangsa Brunei dan Malaysia akan beraksi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Raja Dato’ Reza bin Raja Zaib Shah kepada pihak Media Permata semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Kediaman Rasmi Persuruhjaya Tinggi Malaysia, Jalan Kebangsaan, hari ini.
Menyingkap kembali hubungan 40 tahun itu, jelas TYT Raja Dato’ Reza, banyak pencapaian telah direkodkan sebagai contoh, sejak empat tahun yang lepas, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dengan Brunei meningkat begitu ketara di mana pada 2023, nilai perdagangan dua hala mencecah hampir RM$10 bilion.
Di samping itu, beliau menyatakan bahawa banyak pertukaran lawatan diperingkat tertinggi telah berlaku pada 2023 dan 2024 di mana pada 2023, Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah melakukan lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, TYT Raja Dato’ Reza berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Kuala Lumpur pada 2023 bagi menghadiri Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan dan baru-baru ini, kita sendiri menyaksikan ramai pembesar Malaysia hadir bagi Majlis Perkahwinan Diraja.
Di samping itu, ulasnya lagi, banyak perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani, di mana ia mencerminkan keakraban hubungan antara kedua-dua buah negara berjiran. Sebagai contoh, pada Mac yang lepas, jelas beliau, telah termeterai perjanjian MoU kerjasama bidang kehakiman antara badan kehakiman Brunei dan badan kehakiman Malaysia di mana Ketua Hakim Negara Malaysia, Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat telah melakukan lawatan rasmi ke Brunei.
Ketika mengulas mengenai hubungan rakyat dengan rakyat kedua-dua buah negara, Tuan Yang Terutama berkata, ia telah meningkat di mana kita melihat dalam bidang pelancongan, bukan sahaja rakyat Brunei yang melawat Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak tetapi rakyat Malaysia juga banyak melawat ke Brunei.
“Ini kita dapat sendiri lihat apabila kebanyakan penerbangan AirAsia dan RB sentiasa penuh. Ini adalah satu perkembangan yang menarik,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan kerjasama erat antara kedua-dua buah negara turut dijalin dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, pertahanan dan kebudayaan.
Beliau menyatakan harapan kerjasama antara kedua-dua buah negara terus diperkukuhkan lagi pada masa-masa akan datang.
Tuan Yang Terutama yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam pada Mei nanti, menyatakan amat berpuas hati dengan pencapaiannya sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di mana banyak perkara yang memberi impak besar telah dapat dilaksanakannya.
Beliau berkata bahawa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang diadakan menyaksikan kehadiran jemputan-jemputan daripada menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para duta asing dan ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk sama-sama meraikan sambutan berkenaan.
TYT Raja Dato’ Reza menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat Baginda dan seluruh rakyat Brunei dengan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin, semoga persahabatan dan ukhuwah rakyat Malaysia dan rakyat Brunei akan terus diperkukuhkan lagi untuk manfaat kedua-dua buah negara.