Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Asia

    Oleh Fadhil Yunus –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Pasukan bola sepak kebangsaan Brunei Darussalam melayakkan diri ke pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2027 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas mencatat kemenangan agregat 4-0 ke atas Macau dalam pusingan playoff di Stadium Olimpik Macau, Taipa, malam tadi.

    Pasukan Tabuan menang 1-0 dalam perlawanan kedua selepas mencipta kelebihan 3-0 dalam kemenangan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada Jumaat lalu.

    Pasukan negara turut mencatat sejarah baharu dengan kemenangan kelima berturut-turut, termasuk empat perlawanan terakhir tanpa bolos, yang juga merupakan pencapaian pertama di bawah bimbingan ketua jurulatih sementara, Jamie McAllister.

    Brunei memperkukuhkan kedudukan apabila Azwan Ali Rahman menjaringkan gol selepas menyambar bola yang melantun daripada tandukan padu Hakeme Yazid Said.

    Gol tunggal kapten pasukan itu merupakan detik bersejarah apabila beliau menyamai rekod bekas rakan sepasukan, Shahrazen Said, sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan lapan gol antarabangsa.

    Sementara itu, Pasukan Tabuan akan menyertai 21 pasukan lain dalam pusingan kelayakan ketiga dan terakhir yang dijadualkan bermula pada Mac tahun hadapan.

    Enam juara kumpulan dari fasa kelayakan terakhir akan layak ke pusingan akhir yang dijangka berlangsung di Arab Saudi pada 2027.

    Brunei, yang kini diketuai oleh Jamie McAllister sebagai ketua jurulatih sementara, akan menumpukan perhatian kepada kejohanan Kejuaraan ASEAN dengan perlawanan dua pusingan menentang Timor Leste bulan depan.

    Aksi pemain Brunei dan Macau semasa perlawanan pertama pusingan playoff Piala Asia. – GAMBAR SERAHAN WNMOMENTS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda