Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Negara Brunei Darussalam kini telah memasuki tempoh peralihan monsun iaitu tempoh peralihan selepas monsun barat daya dan sebelum memasuki monsun timur laut.
Tempoh peralihan monsun ini dijangka berterusan sehingga hujung bulan November.
Sepanjang tempoh ini, ketiadaan luruan angin monsun membolehkan kesan angin tempatan untuk memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dalam kenyataan siaran akhbar yang dikeluarkan, hari ini.
Berdasarkan rekod klimatologi, pihak jabatan menjelaskan kekerapan kejadian ribut petir adalah tertinggi semasa tempoh peralihan monsun ini berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Manakala purata hari-hari yang berhujan bagi bulan Oktober ialah 21 hari dan bagi bulan November ialah 22 hari.
Sepanjang tempoh ini negara lazimnya mengalami keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengah hari. Ribut petir berlaku di kawasan pedalaman pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan pada waktu malam, kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari.
Dalam tempoh berkenaan juga dijangka akan berlaku tiupan angin yang perlahan dari pelbagai hala pada waktu pagi dan malam serta dari arah barat laut pada waktu petang. Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit.
Kenyataan turut mengongsikan bahawa dengan keadaan El Nino yang pada masa ini sedang berlaku, negara lazimnya akan mengalami aktiviti turunan hujan yang berkurangan dengan peningkatan suhu udara. Keadaan cuaca yang lebih panas dan kering berpotensi berlaku semasa kemuncak fenomena El Nino menjelang hujung tahun 2023 hingga awal tahun 2024.
Begitu juga, peningkatan suhu harian maksimum mungkin mencecah 34 darjah Celsius atau lebih pada waktu petang. Cuaca Panas Melampau (EHW) atau biasa dikenali sebagai kejadian gelombang haba di Negara Brunei Darussalam juga cenderung berlaku semasa episod El Nino.