Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, mengumumkan acara jualan mega seluruh negara akan diadakan bermula 1 April hingga 26 Mei depan.
Acara selama 56 hari itu merupakan masa yang penting pada tahun ini kerana semua warga tempatan mula giat membuat persiapan untuk meraikan musim perayaan Hari Raya di bulan Ramadan dan Syawal.
Kenyataan menyatakan bahawa bagi tahun ini, Brunei Mega Sales 2021 dianjurkan satu minggu lebih awal daripada tahun-tahun lalu sebagai usaha bagi menyediakan peluang kepada para peniaga untuk sama-sama memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan aktiviti perekonomian domestik berikutan dengan pemulihan ekonomi daripada wabak COVID-19.
Penyertaan peniaga-peniaga dalam talian turut digalakkan ke arah memberikan pengguna pelbagai pilihan produk pada harga yang kompetitif dan pilihan berbelanja. Pada masa yang sama, institusi kewangan yang menawarkan pelbagai jenis kad kredit adalah juga dialu-alukan untuk men-yertai acara jualan mega seluruh negara berkenaan.
JPES menggalakkan penyertaan para peniaga dari pelbagai sektor dengan menawarkan diskaun menarik untuk barangan yang dijual dan tawaran-tawaran yang kreatif terutama sekali bagi produk-produk buatan Brunei sendiri dalam mendukung usaha kebangsaan bagi merangsang kegiatan pertumbuhan ekonomi melalui sokongan terhadap peniaga tempatan dan pelbagai tawaran perniagaan yang berdaya saing ke arah meningkatkan penggunaan.
Semua peniaga yang ikut serta dalam acara berkenaan akan disenaraikan dalam platform tambahan di aplikasi mudah alih PenggunaBijak bagi tujuan publisiti dan meningkatkan visibiliti.
Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (DCCA) di JPES mengingatkan para peserta Brunei Mega Sales 2021 untuk membina keyakinan dan pengalaman positif ke arah mempromosikan membeli-belah secara tempatan dengan mematuhi Peraturan-peraturan Jualan Murah dan Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), 2011.
Ia termasuk memastikan strategi harga adalah beretika dan diskaun yang ditawarkan adalah tulen supaya para pengguna tidak keliru dengan merasa telah membuat penjimatan ke atas tawaran yang tidak tulen.
Pihak DCCA boleh mengarahkan para peniaga untuk membekalkan sebarang maklumat keterangan yang berkaitan termasuk harga sebelum jualan untuk disediakan sesuai selaras dengan Peraturan-peraturan Jualan Murah semasa mengendalikan pemeriksaan. Menurut undang-undang, para peniaga adalah dikehendaki untuk membekalkan maklumat dan data yang sah dan benar. Pemalsuan harga diskaun untuk mengelirukan pengguna atau kegagalan untuk menyediakan maklumat kukuh bagi mengesahkan diskaun adalah menjadi satu kesalahan di bawah Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar) dan Peraturan-peraturan Jualan Murah yang boleh dikenakan denda maksima $20,000 dan lima tahun penjara.
Kenyataan menegaskan bahawa barangan yang ditawarkan untuk jualan secara fizikal mahupun atas talian hendaklah juga dibubuh tanda harga dengan terang dan jelas selaras dengan Peraturan Paparan Tanda Harga untuk memastikan ketelusan harga bagi membolehkan pengguna membuat keputusan pembelian yang bermaklumat.
Selaras dengan Peraturan-peraturan Harga Jualan Murah, Notis Jualan yang diberikan oleh JPES hendaklah dipaparkan dengan terang, jelas dan nyata atau tersedia pada bila-bila masa kepada orang ramai secara dalam talian sebagai pengesahan penyertaan dalam Brunei Mega Sales 2021.
Para peserta dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, seperti dengan menyediakan kod QR yang bersesuaian dan mencukupi di premis masing-masing dan mengehadkan perhimpunan ramai maksimum 1,000 orang dalam premis pada satu-satu masa.
Penyertaan dalam Brunei Mega Sales 2021 dibukakan sekarang dan para peniaga hanya perlu menghadapkan borang penyertaan ke JPES sebelum 31 Mac 2021. Borang Penyertaan tersebut boleh dimuat turun dari laman sesawang JPES di www.jpes.gov.bn/cad dan hendaklah dikembalikan melalui e-mel ke sales@jpes.gov.bn atau dihantar terus ke kaunter JPES.