Saturday, December 21, 2024
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei menang Anugerah Saintis Pertengahan Kerjaya

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Pemenang-pemenang Underwriters Laboratories-ASEAN-US Science Prize for Women 2024 telah diumumkan oleh Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (ASEAN COSTI) dengan kerjasama United States Agency for International Development (USAID) dan UL Research Institute (ULRI) semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN ke-86 (ASEAN COSTI-86) yang berlangsung di Republik Singapura, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, pengumuman itu menandakan ulang tahun ke-10 anugerah berprestij berkenaan dengan tema 2024, Ketahanan Iklim dan Adaptasi, mengiktiraf peranan penting saintis wanita yang menggunakan kerja mereka untuk memperbaiki masyarakat secara berkelanjutan dan menjadi teladan kepada wanita lain dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

    Anugerah yang meraikan sumbangan luar biasa saintis wanita kepada usaha penyesuaian iklim di Asia Tenggara itu menyaksikan penyertaan lebih 250 pemohon dari lebih 60 institusi di wilayah ASEAN.

    Negara Brunei Darussalam telah memenangi Anugerah Saintis Pertengahan Kerjaya menerusi Dr Daphne Teck Ching Lai dari Sekolah Sains Digital, Universiti Brunei Darussalam.

    Anugerah itu mengiktiraf aplikasi inovatif sains data dan kecerdasan buatan dalam konteks ketahanan dan penyesuaian iklim.

    Penyelidikan Dr Daphne Teck Ching Lai melibatkan pemantauan hutan tanah gambut yang penting di Asia Tenggara, menjalankan analisis kualiti air yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) serta membangunkan penyelesaian tenaga hijau.

    Penggunaan AI dalam penyelidikannya memainkan peranan penting dalam pengurusan sumber yang mampan serta pengurangan kesan perubahan iklim.

    Sejak penubuhannya pada 2014, Underwriters Laboratories-ASEAN-US Science Prize for Women telah meraikan pencapaian lebih 400 orang saintis wanita dari 10 buah negara anggota ASEAN, mempromosikan kesaksamaan jantina dalam STEM dan memberikan inspirasi kepada generasi akan datang untuk meneruskan kerjaya dalam bidang sains.

    Dr Daphne Teck Ching Lai menerima Anugerah Saintis Pertengahan Kerjaya pada majlis yang berlangsung di Republik Singapura baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MTIC
    Dr Daphne Teck Ching Lai bergambar bersama anugerah yang dimenangi pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN MTIC

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda