Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei miliki kadar tertinggi pesakit buah pinggang tahap akhir

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Negara Brunei Darussalam adalah antara negara yang mempunyai kadar tertinggi di dunia bagi pesakit buah pinggang peringkat akhir.

    “Pendaftaran Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang Brunei Darussalam telah merekodkan seramai 1,018 individu yang menghidapi penyakit buah pinggang peringkat akhir pada tahun 2023.”

    Perkara itu telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa merasmikan Majlis Pelancaran Jerayawara Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua sempena Hari Buah Pinggang Sedunia Tahun 2024 yang berlangsung di The Mall Gadong, hari ini.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menjelaskan, penyakit buah pinggang kronik merupakan salah satu cabaran kesihatan global yang serius dan menjejaskan lebih daripada 850 juta orang di seluruh dunia.

    “Penyakit buah pinggang kronik juga adalah penyebab kematian kelapan tertinggi di dunia dan telah menyebabkan lebih daripada 3.1 juta kematian pada tahun 2019,” katanya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham memberikan ucapan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    “Jika tidak ada tindakan segera diambil, penyakit buah pinggang kronik ini dijangka akan menjadi penyebab utama kematian kelima tertinggi menjelang tahun 2040,” tambahnya.

    Bertemakan Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua Memantapkan Akses Rawatan yang Saksama dan Amalan Ubat yang Optima, ia memfokuskan kepada meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan untuk memastikan akses yang saksama kepada rawatan dan penjagaan yang sesuai bagi orang yang menghidap penyakit buah pinggang supaya kualiti hidup mereka dapat ditingkatkan dan perkembangan penyakit mereka dapat diperlahankan.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam ucapan perasmian turut mengongsikan perkembangan rawatan penyakit buah pinggang sejak tiga dekad kebelakangan ini tertumpu kepada terapi penggantian buah pinggang seperti rawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang.

    Beliau seterusnya menjelaskan, pada masa ini kemajuan terapeutik telah terbukti dapat mencegah atau menangguhkan penyakit dan mengurangkan komplikasi penyakit buah pinggang, dan jika ia dimulakan sejak awal dan dikekalkan secara konsisten.

    Kementerian Kesihatan akan terus berusaha dan komited untuk memastikan rawatan-rawatan baharu ini tersedia untuk semua pesakit yang memerlukannya.

    Di samping itu, Kementerian Kesihatan juga giat berusaha untuk meningkatkan akses kepada rawatan termasuk dialisis dengan menyediakan perkhidmatan rawatan dialisis di pusat-pusat yang berdekatan dengan komuniti.

    “Walaupun akses kepada rawatan bagi penyakit buah pinggang telah tersedia bagi orang ramai, namun kita masih menghadapi beberapa halangan dalam penyampaian perkhidmatan rawatan,” katanya.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan bahawa kesedaran tentang penyakit buah pinggang masih berada di tahap yang rendah, dan terdapat satu kajian menunjukkan bahawa 80 hingga 95 peratus pesakit di seluruh dunia tidak menyedari keadaan kesihatan mereka.

    Hal ini, jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan, telah menyebabkan kehilangan peluang untuk memulakan rawatan pada waktu yang tepat untuk mencapai penjagaan yang optimal.

    Ke arah itu, setiap individu perlu bertanggungjawab atas kesihatan masing-masing seperti memahami keperluan kesihatan diri, membuat pilihan yang sihat dan bijak, serta mendapatkan sokongan psikososial jika perlu.

    Dengan adanya jerayawara ini, ia diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit buah pinggang dan mengetahui akan faktor risiko penyakit tersebut seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti.

    Jerayawara tersebut juga diharap dapat menekankan kepentingan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat serta kepatuhan kepada strategi rawatan; dan membina kapasiti tenaga kerja dalam penjagaan kesihatan.

    Kementerian Kesihatan juga ingin menasihatkan agar orang ramai untuk berwaspada dalam mengambil sebarang suplemen, ubat tradisional dan herba yang sering dipromosikan di media sosial yang berkemungkinan lebih berbahaya dan memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan buah pinggang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda