Friday, November 8, 2024
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei, M’isa anjur bengkel pengurusan makmal berkualiti

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Seramai 30 peserta telah menghadiri Bengkel bertajuk ISO/TEC 17025:2017- General Requirements for the Competence of Testing and Calibration Laboratories yang diadakan oleh Pusat Standard dan Akreditasi Brunei Darussalam (PSABD), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) dengan kerjasama dua hala bersama Jabatan Standard Malaysia (JSM), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) yang berlangsung di The Centrepoint Hotel, Bandar Seri Begawan pada 5 hingga 7 November yang lalu.

    Hadir bagi merasmikan bengkel berkenaan ialah Pemangku Pengarah Pusat Standard dan Akreditasi Brunei Darussalam (PSABD), MOFE, Dayangku Hajah Nadiah Annasyitah binti Pengiran DP Haji Abu Bakar.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Dayangku Hajah Nadiah menekankan kepentingan bengkel itu dalam memperkukuhkan pemahaman mengenai Standard ISO/IEC 17025:2017 bagi memastikan makmal beroperasi secara cekap dan kompeten untuk menghasilkan keputusan makmal yang tepat kepada pelanggan dan juga pihak berkepentingan.

    Pengarah Akreditasi JSM, Tuan Wan Rukiman Wan Mamat selaku fasilitator bengkel pula menerangkan terperinci pada setiap klausa standard berkenaan.

    Bengkel turut membincangkan aspek praktikal seperti ketaksamaan, kawalan dokumen, audit dalaman, penilaian risiko, ketidakpastian pengukuran, semakan pengurusan dan penambahbaikan berterusan yang akan membantu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam perkhidmatan penilaian konfomiti makmal.

    Bengkel selama tiga hari berkenaan dihadiri oleh wakil-wakil daripada badan-badan penilaian konformiti (CAB) yang berdaftar di PSABD iaitu daripada jabatan-jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan syarikat swasta.

    Bengkel dilaksanakan bersempena dengan Hari Akreditasi Sedunia 2024 dan ia merupakan salah satu usaha PSABD dalam mempromosikan budaya kerja berkualiti bagi makmal-makmal ujian dan kalibrasi tempatan dengan melaksanakan sistem pengurusan kualiti makmal berlandaskan ISO/IEC 17025:2017.

    Hari Akreditasi Sedunia adalah satu inisiatif global oleh Forum Akreditasi Antarabangsa (IAF) dan Kerjasama Akreditasi Makmal Antarabangsa (ILAC) untuk mempromosikan kepentingan akreditasi dengan tema tahun ini iaitu Memperkasakan Hari Esok dan Membentuk Masa Depan yang memperlihatkan pentingnya peranan akreditasi dalam inovasi teknologi, transformasi digital dan pembangunan yang mampan.

    Dengan penganjuran bengkel sedemikian, PSABD membuktikan komitmen mempromosikan budaya kualiti dan kecemerlangan dan berhasrat untuk memperkasakan makmal-makmal di dalam negara untuk mencapai dan mengekalkan piawai kecekapan teknikal tertinggi.

    Dayangku Hajah Nadiah Annasyitah menyampaikan ucapan alu-aluan.
    Antara yang hadir ke bengkel berkenaan.
    Sesi bergambar ramai oleh para peserta bengkel berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MOFE

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda