Brunei, M’sia bekerjasama bawa pulang rakyat terkandas

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Hubungan erat dan istimewa antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia dapat disaksikan apabila usaha sama kedua-dua buah negara untuk membawa pulang rakyat Brunei dan Malaysia ke negara masing-masing dapat dilaksanakan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri Malaysia yang dikeluarkan di sini, hari ini, seramai 84 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir telah menaiki pesawat sewaan khas kerajaan Negara Brunei Darussalam dari Kaherah ke Bandar Seri Begawan yang turut membawa warganegara Brunei yang terkandas di sana.

Kenyataan menjelaskan bahawa pesawat tiba di Bandar Seri Begawan pada pukul 9:08 pagi tadi, jelas Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Kamarudin Jaffar selaku pengerusi Pa-sukan Petugas COVID-19, Kementerian Luar Negeri.

Beliau menjelaskan lanjut bahawa pesawat yang sama kemudiannya membawa seramai 84 orang rakyat Malaysia yang baru tiba dari Mesir dan 25 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Brunei untuk pulang ke Malaysia dan mereka telah selamat tiba di Kuala Lumpur pada pukul 12:11 tengah hari tadi.

Dato’ Kamarudin dalam kenyataan itu menyatakan, “Patik, bagi pihak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, YAB Perdana Menteri, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas perkenan kebenaran 84 rakyat Malaysia untuk turut serta pulang menaiki pesawat yang dihantar oleh kerajaan Brunei Darussalam.”

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada kerajaan Negara Brunei Darussalam, rakan-rakan setugas di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan bagi bantuan serta memudahkan proses berkenaan.

ATAS & BAWAH: Rakyat Brunei dan Malaysia yang dibawa pulang dari Mesir menggunakan pesawat sewaan khas kerajaan Brunei. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam