Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, dalam kenyataannya semasa hari keenam Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-21 kelmarin, mengongsikan bahawa Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 telah mengenal pasti bahawa Digital Data Policy and Governance adalah salah satu strategic enablers yang akan mendukung transformasi digital Negara Brunei Darussalam untuk mencapai visi Negara Pintar.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) hari ini, , Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025 (PDPO 2025) telah diluluskan pada Januari lalu untuk menangani keperluan dasar, perundangan dan rangka kerja kawal selia bagi perlindungan data peribadi yang melibatkan organisasi-organisasi di sektor swasta.
Dengan ini, AITI telah ditetapkan sebagai pihak berkuasa yang akan mentadbir dan menguatkuasakan perintah itu untuk memastikan pengumpulan, penggunaan dan pendedahan data peribadi adalah teratur dan juga menetapkan hak-hak individu ke atas data peribadi masing-masing.
Sehingga kini, AITI telah menjalankan pelbagai perundingan industri, kesedaran awam, taklimat dan bengkel pembinaan kapasiti mengenai PDPO kepada pelbagai sektor dan persatuan. Inisiatif-insiatif itu akan terus dilaksanakan pada tahun 2025.
Dalam pada itu juga, AITI telah menjalankan Program kompetensi bagi Pegawai Perlindungan Data untuk dua kohort bagi peserta-peserta daripada sektor swasta yang akan berperanan sebagai Pegawai Perlindungan Data (DPO).

Program kompetensi itu bertujuan untuk melengkapkan peserta-peserta dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk membina program pengurusan data dalam organisasi masing-masing.
AITI akan terus menjalankan Program Kompetensi DPO tahun ini untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada sektor swasta dan memupuk pertumbuhan DPO di Negara Brunei Darussalam.
Selain itu, program dan garis panduan kepada sektor swasta termasuk kursus latihan Personal Data Protection (PDP) Practitioner Course for Data Protection Officers (DPOs) juga akan dilaksanakan, termasuk penerbitan dokumen-dokumen seperti garis panduan nasihat dan panduan praktikal.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi terus menekankan bahawa organisasi mestilah mula mewujudkan budaya akauntabiliti dalam pengurusan data peribadi yang dapat mengurangkan risiko pencerobohan data.
Ia adalah penting bagi organisasi untuk mempunyai dan melaksanakan amalan dan proses yang betul sebelum penguatkuasaan PDPO 2025 iaitu dalam tempoh satu tahun perintah itu diluluskan.
Perintah itu bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan terjamin, di mana akan meningkatkan kredibiliti organisasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Ia akan memudahkan aliran data merentas sempadan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital di Negara Brunei Darussalam dengan potensi untuk meningkatkan lebih pelaburan asing serta perdagangan serantau dan antarabangsa ke Negara Brunei Darussalam.
Penyediaan rangka kerja sedemikian juga selaras dengan inisiatif-inisiatif seperti ASEAN Economic Community (AEC) Blueprint 2025, Masterplan on ASEAN Connectivity 2025 (ADM 2025), ASEAN Framework on Personal Data Protection dan ASEAN Digital Data Governance Framework.
Yang Berhormat Pengiran Dato seterusnya menyatakan bahawa walaupun PDPO 2025 hanya melibatkan sektor swasta dan bukan kerajaan sahaja, pihak-pihak kerajaan juga mesti sedar tentang kewajipan mereka untuk mengurus data peribadi secara bertanggungjawab dengan berpandukan kepada rangka kerja undang-undang dan dasar yang berkaitan seperti Akta Rahsia Rasmi (Penggal 153), Garis panduan Perkongsian Data Peribadi dan Manual Keselamatan Perlindungan.
Dengan melaksanakan langkah-langkah yang bertanggungjawab, individu juga akan mempunyai hak ke atas perlindungan data peribadi mereka, terutamanya dalam cara bagaimana data dikumpulkan, digunakan dan didedahkan oleh organisasi serta tujuannya.
Itu termasuk hak individu sama ada mengizinkan atau menarik balik izin ke atas penggunaan data peribadi mereka. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengakses laman web di https://www.pdp.aiti.gov.bn.