Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) telah menganjurkan Persidangan Kerjasama Keselamatan Makanan Import dan Eksport Jalur dan Laluan 2025, bertemakan “Memperkukuh Kerjasama Antarabangsa bagi Keselamatan dan Kemudahan Perdagangan Bersama”, yang telah berlangsung dari 15 hingga 16 Oktober 2025 di Shanghai, Republik Rakyat China, baru-baru ini.
Menghadiri persidangan berkenaan dan mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Semasa sesi pembukaan, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan menegaskan, komitmen kukuh Brunei Darussalam terhadap rangka kerja BRI, dengan menekankan bahawa keselamatan makanan bukan hanya tanggungjawab nasional tetapi juga komitmen global bersama.
Yang Berhormat turut menekankan kepentingan memperdalam kerjasama antarabangsa bagi memastikan perdagangan Agrimakanan yang selamat, lancar dan boleh dipercayai.
Yang Berhormat turut menekankan usaha Brunei Darussalam dalam memperkukuh keselamatan makanan dan perdagangan melalui Pihak Berkuasa Makanan Brunei Darussalam (BDFA) serta pelaksanaan Amalan Pertanian, Akuakultur dan Penternakan yang Baik.

Peranan aktif Brunei dalam inisiatif ASEAN dan BRI juga ditekankan, sejajar dengan matlamat bersama memastikan makanan yang selamat, boleh dijejaki dan dipercayai merentasi sempadan.
Penyertaan Brunei Darussalam dalam persidangan ini membuka peluang untuk memperkukuh perkongsian antarabangsa, memperluas program pembangunan kapasiti dan meneroka akses pasaran baharu bagi produk pertanian dan agrimakanan tempatan.
Ini selaras dengan piawaian dan garis panduan sanitari dan fitosanitari (SPS) antarabangsa. Usaha ini akan meningkatkan kualiti serta standard hasil tempatan, sekali gus menyokong pembangunan sektor pertanian dan agrimakanan serta agenda kepelbagaian ekonomi negara.
Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative – BRI) merupakan antara usaha pembangunan global terbesar abad ke-21 yang dilancarkan oleh Republik Rakyat China bagi memperkukuh hubungan infrastruktur, memudahkan perdagangan dan menggalakkan integrasi kewangan di seluruh Asia, Afrika dan Eropah.

Selaras dengan visi tersebut, persidangan ini diadakan bagi memperkukuh kerjasama dalam memajukan kemudahan perdagangan timbal balik berkaitan sektor pertanian dan agrimakanan, termasuk aspek keselamatan makanan.
Persidangan ini turut menjadi platform bagi negara-negara peserta BRI untuk bertukar pandangan dan amalan terbaik dalam pengurusan dasar serta pembangunan sektor berkaitan.
Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan turut mengadakan pertemuan dengan Menteri dan Ahli Jawatankuasa Parti Komunis China (CPC) bagi GACC, Yang Berhormat Sun Meijun, di mana kedua-dua pihak menegaskan komitmen memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam memudahkan akses pasaran dan perdagangan bagi produk pertanian, perikanan dan agrimakanan.

Yang Berhormat turut menyampaikan penghargaan atas sokongan berterusan GACC dalam memudahkan eksport Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, mencerminkan hubungan erat dan visi bersama antara kedua-dua negara sebagaimana yang dinyatakan dalam Kenyataan Bersama semasa Lawatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China pada bulan Februari yang lalu.
Kenyataan Bersama tersebut turut mengalu-alukan penandatanganan Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Pertanian pada Disember 2024 yang bertujuan memperkukuh dan memajukan kerjasama dalam penanaman dan pembiakbakaan padi, penternakan dan perikanan, serta mempertingkatkan perdagangan dan pelaburan dalam sektor pertanian antara kedua-dua negara.
Selaras dengan tema persidangan, Brunei Darussalam menegaskan komitmen dalam memperkukuh kepercayaan dan kerjasama antarabangsa dalam tadbir urus keselamatan makanan bersama Republik Rakyat China dan semua negara peserta BRI bagi memastikan makanan yang diperdagangkan merentasi sempadan adalah selamat, lestari dan dipercayai, sekali gus menyumbang kepada sistem makanan global yang berdaya tahan dan inklusif.
Turut menyertai, Duta Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Pehin Orang Kaya Seri Pahlawan Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdu’r Rahmani bin Dato Paduka Haji Basir; Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; serta pegawai-pegawai dari KSSUP dan Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Beijing, Republik Rakyat China.









