Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei perkukuh kerjasama siber ASEAN, Singapura

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Menteri Bertanggungjawab Sekuriti Siber telah menghadiri Persidangan Menteri-Menteri ASEAN bagi Sekuriti Siber (AMCC) Ke-10 dan Minggu Siber Antarabangsa Singapura Ke-10 yang berlangsung di Republik Singapura, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, menyatakan bahawa AMMC Ke-10 dipengerusikan oleh Menteri bagi Pembangunan Digital dan Maklumat dan Menteri Bertanggungjawab bagi Sekuriti Siber, Singapura, Puan Yang Terutama Josephine Teo.

    Mesyuarat berkenaan telah menghimpunkan menteri-menteri ASEAN bertanggungjawab bagi sekuriti siber untuk membincangkan keutamaan strategik dan kolaborasi serantau ke arah membina sebuah ekosistem digital dipercayai dan selamat.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dalam kenyataannya telah menyatakan ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam, tidak imun kepada ancaman penjenayah siber yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem dan peningkatan aktiviti ‘advanced persistent threat actors (APT)’ serantau.

    Mengenali akan sifat ancaman yang saling berkaitan dan rentas sempadan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary turut menekankan pentingnya untuk mengukuhkan kerjasama, koordinasi, kolaborasi CERT-Ke-CERT serta inisiatif-inisiatif pembangunan kapasiti serantau yang sedia ada.

    Menter-menteri ASEAN bersama-sama menekankan pentingnya kerjasama serantau berterusan untuk menangani cabaran-cabaran sekuriti siber berubah yang berkembang dan canggih. Ia termasuk serangan berpandukan AI dan ancaman serangan siber berkuasa kuantum.

    Menteri-menteri ASEAN juga mengalu-alukan penubuhan Mekanisme Global PBB tetap bagi pembangunan dalam bidang ICT dalam konteks sekuriti antarabangsa dan memajukan sikap Negara bertanggungjawab dalam penggunaan ICT, yang telah dipersetujui pada Julai lalu oleh UN Open-ended Working Group (OEWG) bagi sekuriti siber.

    GAMBAR SERAHAN MTIC

    Mekanisme baharu itu direka untuk melembagakan rundingan dan melaksanakan langkah-langkah berkaitan ancaman ICT, norma siber, pembinaan kapasiti serta penerapan undang-undang antarabangsa.

    Sementara itu, Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) Ke-10 yang membawa tema, Membentuk Era Akan Datang Sekuriti Siber Global, telah dirasmikan oleh Menteri Penyelaras bagi Sekuriti Kebangsaan dan Menteri bagi Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama K. Shanmugam.

    Kini dalam tahun ke-10, SICW ditubuhkan sebagai platform unggul Asia bagi dialog sekuriti siber, mengumpul penggubal dasar, pemimpin industri dan pakar global untuk membincangkan trend yang baru muncul, menangani cabaran bersama dan memupuk koordinasi ke arah sebuah masa depan digital selamat dan berdaya tahan.

    Semasa pembukaan plenari, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary turut mengambil bahagian sebagai ahli panel dalam Panel Peringkat Tinggi yang membincangkan, Power Struggle in a Technopolar World: Big Tech and State Power.

    Panel berkenaan meneroka kuasa-kuasa asas yang memacu kepentingan kerajaan dan industri, yang membentuk dunia digital harian kita masa kini.

    Ia juga mengkaji bagaimana kita boleh bekerjasama secara kolektif untuk mengurus realiti baharu, menekankan keperluan untuk memupuk kerjasama berstruktur, prinsip dan perkongsian berasaskan nilai yang memenuhi matlamat pembangunan negara.

    Negara-negara yang lebih kecil juga boleh memainkan peranan yang membina sebagai pembina jambatan dan penyelaras yang dipercayai dalam memupuk kerjasama digital inklusif di peringkat serantau dan global.

    Di luar SICW Ke-10 dan AMCC Ke-10, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Puan Yang Terutama Josephine Teo, di mana kedua-dua Menteri membincangkan cara-cara untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura dalam bidang pembangunan dasar keselamatan siber, infrastruktur digital dan teknologi baharu, terutamanya dalam menyokong agenda ekonomi digital kolektif ASEAN.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary telah diiringi oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim bersama-sama pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Cyber Security Brunei (CSB).

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda