Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei perkukuh rangka kerja harta intelek

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Negara Brunei Darussalam terus mengukuhkan rangka kerja harta intelek (IP) selaras dengan komitmen meluas kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan juga merealisasikan Wawasan 2035.

    Selain pindaan kepada Akta Tanda Dagangan, Pejabat Harta Intelek Brunei (BruIPO) yang berpindah kepada Pejabat Peguam Negara, mengukuhkan lagi usaha dan inisiatif untuk meningkatkan perlindungan serta promosi harta intelek.

    Dengan sokongan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kita boleh mengenal pasti dan meningkatkan lagi inisiatif-inisiatif serta memastikan penjajaran dengan standard antarabangsa untuk memanfaatkan pengalaman serta kepakaran pegawai-pegawai kita dalam bidang berkenaan.

    Pejabat Peguma Negara menerusi BruIPO sedang berusaha ke arah membangunkan peraturan bagi Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) untuk memastikan amalan-amalan mereka sejajar dengan standard antarabangsa dan dengan itu diharapkan akan menyokong pembangunan industri kreatif.

    Perkara itu dinyatakan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib dalam ucapannya pada perasmian Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN bagi Kerjasama Harta Intelek (AWGIPC) ke-73 yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah semasa menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Beliau juga mengakui bahawa penubuhan Pusat Sokongan Inovasi dan Teknologi (TISC) di Universiti Brunei Darussalam, pusat yang pertama di Brunei, menyediakan sokongan penting bagi penyelidikan, inovasi dan akses kepada perkhidmatan maklumat teknologi berkualiti tinggi, yang amat kritikal bagi mencapai sasaran SDG khususnya dalam memupuk pembangunan infrastruktur dan inovasi.

    Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah menyatakan sementara Negara Brunei Darussalam mengukuhkan sistem harta inteleknya, negara juga terus komited kepada peranannya dalam Komuniti ASEAN.

    Pelan Tindakan IPR ASEAN, jelasnya, yang merupakan batu asas kepada kolaborasi serantau, akan berakhir pada 2025 di mana pelan itu telah membimbing kerja-kerja kita untuk mengharmonikan amalan IP di serata negara-negara anggota ASEAN, memupuk daya tahan kolektif serta meletakkan ASEAN sebagai sebuah rantau dinamik bagi inovasi dan kreativiti.

    Dalam zaman intenet dan teknologi digital, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah menyatakan perlindungan dan promosi harta intelek, khususnya hak cipta menjadi semakin kritikal dengan perkembangan kecerdasan buatan.

    Oleh itu, menerusi usaha pengharmonian dan kerjasama di bawah AWGIPC, beliau yakin cabaran-cabaran baharu dan yang akan muncul dapat diatasi.

    Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan Pelan Tindakan IPR ASEAN pasca 2025 yang akan datang dapat membina asas pencapaian pendahulunya, menangani cabaran-cabatan yang muncul serta merebut peluang-peluang baharu dalam landskap IP global bagi memastikan bahawa sistem IP kita kekal mantap, mampu menyesuaikan diri serta berkedudukan baik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi mampan di seluruh negara anggota.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda