Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, hari ini mengemukakan pertanyaan berhubung kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam menangani isu keselamatan makanan, khususnya mengenai ketersediaan inventori makanan bagi memastikan keterjaminan bekalan dalam menghadapi cabaran perdagangan dan risiko gangguan rantaian bekalan makanan.
Menjawab soalan berkenaan kelmarin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, menjelaskan bahawa negara telah mencapai tahap sara diri sebanyak 100 peratus bagi pengeluaran daging ayam dan 113 peratus bagi telur ayam. Selain itu, Brunei juga mencatatkan tahap sara diri 77 peratus bagi sayur tropika dan 65 peratus bagi ikan dan udang.
Untuk memastikan keterjaminan keselamatan makanan negara, beberapa langkah penting telah dan sedang diambil, yang mana kementerian melalui jabatan-jabatan berkaitan melaksanakan pemantauan suku tahunan ke atas bekalan makanan utama seperti ayam, telur dan daging lembu bagi menilai tahap kecukupan serta ketersediaan di pasar raya dan kedai runcit, termasuk unjuran bekalan untuk bulan-bulan akan datang. Ini bukan sahaja menyokong strategi keselamatan makanan tetapi juga membolehkan potensi gangguan dalam rantaian bekalan dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
Antara usaha lain yang turut dijalankan adalah dengan mengukuhkan rantaian perusahaan dari peringkat pengeluaran benih seperti anak ayam, anak ikan dan biji benih tanaman hingga ke peringkat pengeluaran ayam, ikan, padi, sayuran serta proses pemprosesan. Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kebergantungan negara kepada import bagi benih dan stok utama.
Selain itu, perlaksanaan Export Drive Initiative untuk menggalakkan perusahaan makanan tempatan meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi pasaran domestik dan eksport. Dengan kejayaan menembusi pasaran eksport, Brunei bukan sahaja mencapai status sara diri malah berpotensi menjadi pengeksport bersih produk makanan terutama produk hiliran.
Manakala yang terakhir adalah dengan mengenal pasti sumber benih yang sesuai bagi meningkatkan produktiviti dan hasil pengeluaran setiap hektar terutamanya bagi tanaman padi, di mana tahap sara diri masih berada pada 8 peratus.
Selain itu, kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei bagi meneroka peluang pelaburan dan usahasama untuk meningkatkan tahap sara diri negara dalam pengeluaran beras dan daging lembu.
Dalam memastikan kualiti dan keselamatan produk agrimakanan tempatan, pemantauan kebersihan premis dan pensampelan produk makanan dijalankan secara berkala. Pemantauan dilakukan setiap bulan bagi syarikat berskala kecil dan setiap tiga bulan bagi syarikat berskala besar. Sampel premis dianalisa oleh Makmal Veterinar Terunjing, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan manakala analisa mikrobiologi produk dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.
Yang Berhormat Dato turut menegaskan bahawa keselamatan makanan merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan pendekatan whole nation approach, melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan pengusaha individu. Kementerian akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk mencapai hasrat keselamatan makanan yang mampan.



