Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Sebanyak 572 kematian akibat penyakit jantung dan strok termasuk 313 kematian pramatang dicatat di Negara Brunei Darussalam pada 2024.
Pendaftaran Kanser Brunei Darussalam juga telah merekodkan 794 kes baharu kanser dalam kalangan warganegara dan penduduk tetap pada 2023 iaitu meningkat daripada 743 kes pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, Pendaftaran Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang Brunei Darussalam pula mencatatkan sejumlah 1,082 individu yang didiagnosis dengan penyakit buah pinggang peringkat akhir pada 2024 iaitu peningkatan sebanyak 6.2 peratus berbanding tahun 2023.
Di samping itu, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, iaitu 2022 hingga 2024, secara purata 180 pesakit Penyakit Buah Pinggang Peringkat Akhir (End-Stage Kidney Disease – ESKD) telah dilaporkan meninggal dunia setiap tahun.

Perangkaan itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapan di Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Antarabangsa NCD 2025 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin.
Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato menyatakan semasa Mesyuarat Peringkat Tinggi Keempat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), baru-baru ini, para pemimpin dunia telah menerima pakai Deklarasi Politik baharu mengenai penyakit tidak berjangkit dan kesihatan mental.
Deklarasi itu mengesahkan semula komitmen bersama untuk mengurangkan kematian pramatang akibat NCD sebanyak satu pertiga menjelang 2030 di mana buat pertama kalinya, agenda global berkenaan diperluas untuk merangkumi kesihatan mental, kanser kanak-kanak, kesihatan mulut, pencemaran udara dan faktor penentu kesihatan digital.
“Ia menetapkan sasaran yang berani, termasuk memastikan 150 juta lagi orang mendapat akses kepada penjagaan kesihatan mental dan 150 juta lagi penduduk di seluruh dunia mengawal tekanan darah tinggi mereka,” ulas Yang Berhormat Dato lagi.
Beliau menambah deklarasi itu menyeru bagi pembiayaan mampan, peraturan yang lebih kukuh terhadap faktor komersial yang mempengaruhi kesihatan serta akses saksama kepada ubat dan teknologi penting.
Negara Brunei Darussalam bersedia untuk menterjemahkan komitmen global itu kepada tindakan tempatan dengan memperkukuh penjagaan kesihatan primer, melindungi rakyat daripada risiko yang boleh dicegah serta memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam perjalanan menuju kesihatan dan kesejahteraan untuk semua.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham seterusnya berkata, kementeriannya telah memberi keutamaan kepada NCD melalui Pelan Tindakan Pelbagai Sektor Kebangsaan bagi Pencegahan dan Kawalan NCD serta memperkukuhkan sistem pemantauan, memperluas akses kepada ubat penting dan meningkatkan intervensi berasaskan komuniti.

Kementerian Kesihatan, ulasnya lanjut, telah menerima pakai teknologi kesihatan digital, mempromosikan kesejahteraan mental, dan menyokong kawalan tembakau melalui Konvensyen Rangka WHO mengenai Kawalan Tembakau (FCTC).
Pelbagai tindakan telah dilaksanakan, termasuk aspek pencegahan, pengesanan awal, rawatan serta penjagaan paliatif termasuk penyediaan perkhidmatan saringan kanser percuma kepada semua warganegara,.
Namun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan dan persidangan itu merupakan seruan untuk bertindak kepada para pengamal perubatan, pembuat dasar, penyelidik, dan masyarakat sivil.
Ia merupakan seruan untuk mengintegrasikan penjagaan iaitu menghapuskan jurang antara kesihatan fizikal dan mental.
Antara pencegahan dan rawatan, memperkasakan masyarakat iaitu dengan melibatkan rakyat sebagai rakan kongsi dalam kesihatan, bukan sekadar penerima pasif; melabur dalam inovasi dengan memanfaatkan data, teknologi, dan penyelidikan untuk memacu tindak balas yang lebih bijak dan pantas serta memperkukuh kepimpinan dengan memastikan setiap pembuat keputusan dalam seluruh jentera negara memahami kos akibat tidak bertindak dan kekuatan pencegahan dengan kesihatan merupakan tanggungjawab bersama.
“Wawasan 2035 menggambarkan Brunei yang bukan sahaja makmur, tetapi juga berdaya tahan, di mana kesihatan adalah asas kepada ketahanan itu”.

“Kita harus membina sistem yang inklusif, adaptif dan siaga masa depan. Kita mesti memastikan bahawa tiada sesiapa yang tertinggal, khususnya mereka yang paling terdedah kepada NCD,” jelasnya.
Persidangan berkenaan menampilkan dua ucaptama bertajuk, NCD Actions: Bridging Communities & Healthcare, yang disampaikan oleh wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Ketua Pejabat Negara WHO untuk Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr. Rabindra Abeyasinghe, dan BruMap-NCD: Insights on the Roadmap to a Healthier Nation, yang disampaikan oleh Penasihat Kanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Norhayati binti Haji Md Kassim.
Persidangan dan Pameran Antarabangsa NCD 2025 dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Gleneagles JPMC.
Acara itu bermatlamat untuk memperkukuhkan kerjasama antara komuniti dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam menangani cabaran penyakit-penyakit tidak berjangkit serta mengukuhkan komitmen negara ke arah masyarakat yang lebih sihat dan berdaya tahan.

