Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Kadar Penyusuan Susu Ibu (PSI) secara eksklusif telah menurun secara drastik di seluruh dunia sejak dunia dilanda gelombang pandemik COVID-19 dan Brunei tidak terkecuali.
Kadar PSI Brunei menurun kepada 45 peratus pada 2021 ketika pandemik membelenggu negara, berbanding 47 peratus pada 2019 dengan peningkatan sistem sokongan kesihatan termasuk aktiviti-aktiviti mempromosikan PSI yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan sebelum dan selepas melahirkan anak damit.
Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu 2023 hari ini.
Beliau turut menekankan kadar PSI itu adalah tinggi pada tiga bulan pertama sewaktu ibu menjalani cuti beranak, tetapi menurun selepas mereka kembali bekerja.
Yang Berhormat Dato menjelaskan, pada pra-pandemik, Brunei hampir mencapai sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk meningkatkan kadar PSI secara ekslusif dalam tempoh enam bulan pertama sehingga sekurang-kurangnya 50 peratus di mana kadar PSI secara ekslusif bagi negara ini telah mencapai 45 peratus sejak pengenalan Dasar Peraturan Cuti Beranak 2011 iaitu peningkatan yang ketara daripada 29 peratus pada 2011 kepada 41 peratus pada 2013.
“Walau bagaimanapun, saat negara dilanda pandemik COVID-19, ia telah menurun kepada 45 peratus,” tekannya.
Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato menggesa Brunei bangkit semula untuk mengukuhkan sistem sokongan PSI kepada tahap pra-pandemik demi mencapai sasaran pemakanan global menjelang tahun 2025.
Menurutnya, antara sebab penurunan kadar PSI dalam kalangan ibu bekerja ialah kurangnya sokongan PSI di tempat kerja, seperti kekurangan fleksibiliti untuk mengepam susu ibu, kekurangan sokongan atau pemahaman di tempat kerja, ketiadaan bilik dan kemudahan yang sesuai untuk mengepam dan juga sifat kerja yang menyukarkan untuk mengepam susu ibu terutamanya bagi wanita yang mempunyai kerjaya yang bukan berasaskan pejabat (non-office based career).
Yang Berhormat Dato berkata, “Perlu difahami PSI menggunakan masa bekerja, oleh itu setiap majikan hendaklah memahami kebergantungan proses penghasilan susu ibu itu terletak kepada bekalan dan permintaan.”
Oleh itu, proses pengepaman perlu diteruskan bagi ibu yang bekerja agar lebih banyak susu ibu dapat dihasilkan dan mencukupi untuk dibekalkan kepada anak damit mereka yang ditinggalkan di rumah atau di pusat jagaan kanak-kanak.
Selain itu, penyediaan kemudahan PSI yang terlindung, selesa, selamat dan bersih juga boleh meningkatkan sokongan PSI di tempat kerja.
Perkara itu, ulas Yang Berhormat Dato telah digariskan dalam Piawai Negara Brunei Darussalam: Building Guidelines and Requirements (2017) Kementerian Pembangunan, di mana penyediaan bilik PSI menjadi salah satu kriteria teras bagi membangun kompleks membeli-belah yang baharu.