Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Negara Brunei Darussalam meraikan acara Hari Kebangsaan dengan mengetengahkan persembahan kebudayaan di National Day Hall Ray Garden di Ekspo 2025 Osaka Kansai Jepun pada 7 Ogos lalu.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, acara itu dihadiri oleh para pegawai Jepun, tetamu jemputan daripada para peserta antarabangsa yang lain serta para pengunjung ekspo.
Acara bermula dengan upacara menaikkan bendera Negara Brunei Darussalam dan Jepun serta diiringi oleh lagu kebangsaan masing-masing.
Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Naib Pesuruhjaya Agung 2025 World Exposition in Japan, Shigetoshi Ikeyama dan Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), MOFE, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin di mana kedua-duanya mengetengahkan persahabatan pelbagai aspek dan berkekalan kedua-dua buah negara.
Sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 1984, Brunei dan Jepun telah membina kerjasama yang erat dan dipercayai, merangkumi tenaga yang meliputi lebih lima dekad kepada kolaborasi dalam bidang-bidang seperti infrastruktur, sekuriti maritim, pendidikan dan peralihan tenaga.


Hubungan erat berkenaan telah diperkukuhkan menerusi pertukaran belia, kerjasama akademik dan kefahaman kebudayaan.
Persembahan kebudayaan yang dipersembahkan oleh Kumpulan Senandung Darussalam dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, membolehkan para penonton untuk mengalami sendiri keindahan, keanggunan dan kepelbagaian seni tradisional iaitu dari istana diraja hingga ke perkampungan nelayan, dari rumah panjang masyarakat orang asli kita hinggalah perayaan meriah rakyat.
Persembahan menjulang tarian Jipin Tar, lagu Dundang-Dundang, Tipa, tarian Alai Ashik, lagu Kampong Ayer, tarian Aduk-Aduk, tarian Adai-Adai, tarian Umak Ruma, lagu Seri Brunei, lagu Puja Usia, tarian Selendang Kipas serta tarian Joget Hati Tertawan.
Delegasi Brunei juga berpeluang melawat ke Pavilion Jepun, yang turut mengetengahkan loji biogas yang menukar sisa organik yang dijana oleh ekspo itu kepada tenaga yang menjadikan pavilion itu nampak ‘hidup’ dan berdikari yang memaparkan sebuah ekonomi bulat dalam tindakan.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Persatuan Persahabatan Jepun-Brunei, Wakayama Shinji; Charge d’affairs, Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Tokyo, Pengiran Amir Johan bin Pengiran Haji Ismail; pegawai-pegawai kanan Jepun serta wakil daripada Japan Association for the 2025 World Exposition.
Ekspo 2025 Osaka Kansai Jepun diadakan pada 13 April hingga 13 Oktober di Pulau Yumeshima, Osaka dengan membawa tema, Designing Future Society for Our Lives.
Pameran Negara Brunei Darussalam di Commons F Pavilion, yang mengetengahkan gerbang elegan yang diinspirasikan oleh Indera Buana iaitu pintu masuk besar ke dewan istiadat di Istana Nurul Iman.
Diperbuat daripada papan lapis birch, gerbang membentuk kekisi tiga dimensi yang anggun, mencerminkan geometri suci yang terdapat dalam seni bina Islam.
Cermin berketinggian penuh pada kedua-dua belah gerbang, mewujudkan rasa pengulangan yang tidak terhingga dan melambangkan kekuatan berterusan tradisi dan nilai budaya Brunei.
Sejak dibuka secara rasmi, kira-kira 693,000 orang pengunjung melawat Pavilion Brunei Darussalam.

