Oleh Sim Y.H.
KUCHING, 26 SEPT – Kontinjen Negara Brunei Darussalam sehingga 25 September, berjaya untuk mengutip 5 pingat dalam acara-acara sukan yang disertai ketika beraksi di Sukan Borneo ke-6, Kuching, Sarawak, kelmarin.
Kontinjen negara berjaya untuk mengutip 2 pingat emas dan 3 pingat gangsa di mana 2 pingat emas dan 2 pingat gangsa diperoleh menerusi sukan akuatik (renang) dan 1 pingat gangsa dalam sukan olahraga.
Dalam sukan akuatik iaitu renang, pingat emas telah dimenangi oleh Awang Joel Ling Thai Yu dalam acara Men’s 50m Backstroke, dan Dayang Sharmeen binti Mohammad Mharvin dalam acara Women’s 50m Backstroke.

Manakala pingat gangsa dimenangi oleh Dayang Abbey Wong Ann Wen dalam acara Women’s 100m Breaststroke, dan pingat gangsa juga dikumpul dalam acara 4×100 Mixed Medley Relay yang diwakili oleh Awang Joel Ling, Dayang Sharmeen, Dayang Abbey Wong dan Awang Nur Haziq Samil.
Sementara itu, bagi sukan olahraga, pingat gangsa telah dimenangi oleh Awang Md Arif bin Zulkifli dalam acara Men’s 1500M.
Sukan Borneo Ke-6, 2025 berlangsung di Kuching, Sarawak, bermula pada 24 September hingga 28 September. Kontinjen Negara Brunei Darussalam seramai 36 orang diketuai oleh Chef de Mission, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly.
Pada edisi Sukan Borneo kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak lima daripada lapan acara sukan yang dipertandingkan iaitu Akuatik (Renang), Badminton, Olahraga, Boling Padang dan Tarik Tali.




