Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Dalam usaha untuk mengukuhkan keberadaannya di pasaran pelancongan keluar Korea Selatan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) mengambil bahagian dalam Pameran Perjalanan Antarabangsa Seoul (SITF) 2025 yang berlangsung di COEX Convention & Exhibition Centre di Seoul, Korea pada 5 hingga 8 Jun.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKP di sini, menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam diwakili oleh syarikat penerbangan kebangsaan, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) bersama-sama empat rakan kongsi pelancongan dan hospitaliti tempatan yang mengetengahkan kepelbagaian tawaran pelancongan negara.
Penyertaan Brunei amat menonjol apabila Gerai Pameran Pelancongan Brunei dianugerahkan, Best Event Booth di SITF 2025, dalam mengiktiraf aktiviti-aktiviti interaktif, rekaan gerai pameran menarik dan penampilan yang kukuh keseluruhannya.
Penghormatan itu mencerminkan komitmen Brunei untuk menyampaikan pengalaman pelancongan yang menawan dan menarik kepada pasaran antarabangsa.
SITF 2025 merupakan pameran pelancongan tahunan unggul selama empat hari di mana ia menarik pemain-pemain utama dari industri pelancongan global. Ia menyediakan sebuah platform penting bagi perniagaan dan destinasi untuk mengetengahkan tawaran masing-masing, membina kerjasama strategik dan meningkatkan kolaborasi pelancongan serantau.




Negara Brunei Darussalam telah melancarkan kempen barunya, Brunei: Yours to Discover, di SITF 2025, bermatlamat untuk menarik pelancong-pelancong Korea Selatan yang ingin mendapatkan pengalaman yang mengasyikkan dan sebenar.
Kempen itu mengetengahkan kekayaan budaya dan warisan kulinari Brunei, landskap semula jadi dan destinasi yang indah. Berpaksikan sekitar mesej, Find Your Moment. Capture Your Story, ia menggalakkan para pelancong untuk menikmati dengan penuh bermakna dan santai serta menjana memori berkekalan dalam persekitaran yang aman, damai dan tersembunyi daripada kesesakan kehidupan seharian.
Sepanjang ekspo berkenaan, delegasi negara telah mengambil bahagian dalam perjumpaan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) bersasar dengan pihak berkepentingan pelancongan Korea utama. Sebuah sesi jaringan khusus juga diadakan pada hari pertama, menawarkan ejen-ejen pelancongan Korea pembentangan mendalami tawaran pelancongan Brunei.
Sesi itu mendapatkan sambutan yang baik di mana lebih 21 orang ejen pelancongan dan 25 individu menghadiri sesi berkenaan. Insiaitif itu mencerminkan komitmen Brunei kepada mengembangkan jangkauannya serta meletakkan negara sebagai sebuah destinasi baru yang tersendiri bagi pelancong-pelancong Korea.
Pada April lalu, negara telah mengalu-alukan sebuah kru produksi televisyen Korea Selatan yang membuat penggambaran bagi program televisyen Korea di mana ia dijangka akan mempromosikan lagi negara sebagai sebuah destinasi yang harus dilawat.
Sebuah lagi produksi Korea juga dijadualkan untuk membuat penggambaran di Brunei pada Julai nanti. Usaha-usaha promosi berkenaan menyokong lagi kolaborasi strategik dengan pempengaruh media sosial Korea dan lawatan suai kenal bagi ejen pelancongan yang mengukuhkan lagi keberadaan Brunei dalam pasaran pelancongan keluar Korea Selatan.
Walaupun masih sebuah pasaran yang membangun, Korea Selatan telah menunjukkan pertumbuhan yang stabil sebagai sumber pelancongan masuk ke Negara Brunei Darussalam.
Penyertaan Brunei di SITF Korea 2025 mencerminkan tumpuan strategiknya dalam memupuk potensi berkenaan di mana ketibaan pelancong dari Korea Selatan meningkat daripada 4,671 orang pada 2023 kepada 8,323 orang pada 2024 dengan 3,038 orang pelawat telah direkodkan sehingga April 2025.
Aliran kenaikan itu menggariskan peningkatan kesedaran dan minat terhadap Brunei sebagai sebuah destinasi khusus untuk pelancong Korea yang mencari pengalaman bermakna.

